PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga aktivis gerakan Islam Mesir, Youssef Nada yang meninggal dunia, hari ini.
“Sedih tatkala sahabat keluarga, aktivis gerakan Islam berasal Mesir serta juga pengusaha terkenal, Youssef Nada kembali menyahut seruan Ilahi.
“Bagi pihak keluarga, kami berduka dan mendoakan agar rohnya diberi keampunan serta dikurnia tempat istimewa di sisiNya, insya Allah,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Nada, 93, merupakan seorang ahli perniagaan dikenali sebagai bapa kewangan Islam dan pengasas Al Taqwa Islamic Bank.
Beliau turut terkenal atas kejayaan dalam kes perundangan hak asasi manusia di Eropah dalam mempertahankan dirinya daripada tuduhan keganasan oleh Amerika Syarikat. – UTUSAN