PM Thailand diberi sambutan rasmi negara

PM Thailand diberi sambutan rasmi negara

PERDANA Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra diberi sambutan rasmi di Bangunan Perdana Putra, di Putrajaya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra diberi sambutan rasmi di Bangunan Perdana Putra, di sini sebentar tadi sempena lawatan rasmi dua hari ke negara ini.

Paetongtarn disambut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekitar pukul 9 pagi sebelum lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan.

Hadir sama kedua-dua Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof serta anggota Jemaah Menteri dan pengurusan tertinggi kerajaan.

Yang turut hadir isteri Anwar, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan suami Paetongtarn, Pidok Sooksawas.

Paetongtarn kemudian turut memeriksa pasukan Kawalan Kehormatan Utama dari Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (Istiadat) yang terdiri daripada tiga pegawai dan 102 anggota lain-lain pangkat.

Ini adalah kunjungan sulung Paetongtarn ke negara ini selepas dipilih sebagai Perdana Menteri Thailand ke-31 pada Ogos lalu atas jemputan Anwar.

Lawatan anak perempuan bongsu bekas Perdana Menteri Thaksin Shinawatra itu juga adalah bagi menghadiri Rundingan Tahunan Malaysia-Thailand Ketujuh (AC), yang bertujuan mempererat hubungan dua hala dan memperkukuh kerjasama serantau.

Anwar dan Paetongtarn kemudiannya mengadakan mesyuarat dua hala dan seterusnya akan bersama-sama mempengerusikan AC berkenaan.

Kedua-dua pemimpin juga dijadual menyaksikan pertukaran dua Memorandum Persefahaman (MoU) iaitu MoU mengenai Kerjasama Kebudayaan, Seni dan Warisan serta MoU mengenai Pembangunan Industri Getah dan Kerjasama Ekonomi.

Lawatan berkenaan susulan daripada Mesyuarat Ke-15 Suruhanjaya Bersama Bagi Kerjasama Dua Hala dan Mesyuarat Ke-6 Strategi Pembangunan Bersama bagi Kawasan Sempadan antara Malaysia dan Thailand, yang dipengerusikan oleh Menteri Luar kedua-dua negara di Kuala Lumpur pada 6 Ogos lalu.

Lawatan tersebut juga sebahagian daripada siri pertukaran lawatan di peringkat Perdana Menteri pada tahun ini selepas Lawatan Kerja Perdana Menteri Malaysia dan Thailand ke Sungai Golok, Thailand dan Rantau Panjang, Kelantan pada 3 Ogos lalu.

Pada tahun lalu, Thailand adalah rakan dagang keenam terbesar Malaysia di peringkat global dan kedua terbesar dalam kalangan negara anggota ASEAN, dengan jumlah dagangan sebanyak RM113.16 bilion (AS$24.83 bilion).

Dari Januari hingga Oktober 2024, jumlah
dagangan dua hala telah mencecah RM95.50 bilion (AS$20.75 bilion) berbanding RM94.37 bilion (AS$20.69 bilion) dalam tempoh yang sama pada tahun lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya