PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi memohon maaf kepada barisan Jemaah Menteri susulan isu ‘berang dan marah’ atas kelewatan Digital Nasional Bhd (DNB) dan My Digital ID.
Perkara itu dimaklumkan Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil pada sidang akhbar selepas mesyuarat Jemaah Menteri, di sini hari ini.
Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, Perdana Menteri pada mesyuarat pada hari ini telah memohon maaf kepada semua yang hadir.
“Beliau (Perdana Menteri) menjelaskan kenapa beliau memohon maaf kerana beliau merasakan seperti dalam bahasa Inggeris disebut ‘very out of character’ (diluar karakter).
“Dan puncanya (kemarahan) adalah beliau merasakan bahawa dua-dua inisiatif (MyDigital ID dan Digital Nasional Bhd) ini seharusnya bergerak dengan lebih pantas.
“Beliau (Perdana Menteri) memohon maaf kali pertama pada perhimpunan bulanan Kementerian Kewangan semalam dan beliau juga memohon maaf sekali lagi dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada hari ini,” katanya.
Semalam, Anwar melahirkan rasa kecewa dan marah dengan kelewatan serta pelaksanaan dua projek transformasi digital negara itu pada Mesyuarat Majlis Ekonomi Digital Dan 4IR Negara yang berlangsung pada Rabu lalu. – UTUSAN