Platform media sosial dituntut bertanggungjawab kandungan pornografi kanak-kanak

Platform media sosial dituntut bertanggungjawab kandungan pornografi kanak-kanak

SYERLEENA ABDUL RASHID - PARLIMEN MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Platform media sosial dituntut bertanggungjawab terhadap kandungan dan penyebaran bahan video dan gambar pornografi kanak-kanak.

Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid berkata, semua pihak perlu menuntut pembaharuan segera dan menyeluruh untuk memastikan platform-platform tersebut bertanggungjawab terhadap kandungan yang mereka dihoskan.

Katanya, hal ini kerana suspek mampu beroperasi dengan identiti palsu di platform seperti X dan Telegram serta mengakses dan menyebarkan kandungan eksplisit dengan begitu mudah sekali gus menunjukkan kelemahan ketara dalam tadbir urus ruang dalam talian.

“Cadangan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil untuk memperkenalkan rangka kerja pelesenan media sosial adalah langkah ke arah yang betul, tetapi ia masih belum mencukupi.

“Internet yang dahulunya diraikan sebagai ruang ilmu tanpa batas, kini menjadi medan gelap bagi mereka yang berniat mengeksploitasi kanak-kanak.

“Daripada pemangsa yang berlindung di sebalik profil tanpa nama, kepada kandungan berbahaya yang dikaburi sebagai hiburan, kanak-kanak kini terdedah kepada ancaman yang mengancam keselamatan dan kesejahteraan mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kelmarin, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, seramai 13 lelaki ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dipercayai menyimpan video dan gambar pornografi kanak-kanak dan dewasa dalam operasi khas di enam buah negeri pada 23 Disember lalu.

Katanya, kira-kira 40,000 bahan penganiayaan seksual kanak-kanak dan pornografi dewasa turut ditemukan dalam komputer terbabit.

Syerleena berkata, platform media sosial, komuniti permainan dan bahkan aplikasi pendidikan telah menjadi pintu masuk kepada pembulian siber, pengantunan dan pendedahan kepada bahan yang mengganggu.

Katanya, serangan-serangan ini meninggalkan luka emosi yang mendalam, menghakis rasa selamat mereka dan merosakkan persepsi mereka terhadap dunia luar.

“Kekurangan akauntabiliti dalam ruang digital membenarkan ‘kengerian’ ini berkembang tanpa kawalan, sekali gus mencerminkan keperluan mendesak untuk memperkukuhkan perlindungan serta keselamatan kanak-kanak melalui peraturan yang jelas.

“Kita menyeru kerajaan untuk melaksanakan peraturan ketat yang mewajibkan syarikat media sosial memberi keutamaan kepada keselamatan pengguna dan mencegah penyebaran Bahan Penderaan Seksual Kanak-Kanak (CSAM),” kataya.

Katanya, selain itu, semua rakyat Malaysia digesa untuk sentiasa berwaspada dan melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan dalam talian yang melibatkan CSAM kepada pihak berkuasa memandangkan melindungi kanak-kanak bukan sahaja tanggungjawab kolektif, namun ia adalah keperluan moral yang memerlukan tindakan segera dan tegas.

“Sebagaimana sabda Nabi Muhamma ‘Bertaqwalah kepada Allah dan berlaku adillah kepada anak-anakmu.’ Kita tidak boleh berdiam diri apabila anak-anak muda kita terancam.

“Mencapai keseimbangan antara kebebasan internet dan melindungi kanak-kanak mungkin satu cabaran, tetapi tiada siapa yang dapat menafikan kepentingannya. Oleh itu, adalah tanggungjawab bersama kita untuk memastikan era digital menjadi ruang peluang dan pembangunan, bukan ruang bahaya dan eksploitasi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya