KUALA LUMPUR: Penyedia pembiayaan invois dan institusi kewangan bukan bank terbesar di Malaysia,Planworth Global Factoring Sdn Bhd (Planworth) menawarkan pembiayaan sehingga RM20 juta untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta entiti korporat yang ingin memperluaskan perniagaan.
Pengarah Eksekutif Planworth, Elaine Lim, berkata pembiayaan tersebut tersedia untuk syarikat yang memperoleh kontrak atau sebut harga daripada kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), dan sektor swasta.
“Planworth tidak hanya menyediakan pembiayaan konvensional, tetapi juga menawarkan produk pembiayaan Islamik bagi memberikan lebih banyak pilihan kepada pelanggan,” katanya dalam satu kenyataan.
Elaine menambah, Planworth turut terlibat secara aktif dalam program kerajaan dan inisiatif untuk menyokong pengembangan perniagaan PMKS. Pembiayaan mereka meliputi pelbagai sektor seperti keselamatan, pembersihan, penyelenggaraan, perkhidmatan, dan pembekalan.
Setakat ini, Planworth telah menyalurkan lebih RM2.5 bilion dalam dana pembiayaan, dengan jumlah keseluruhan kontrak melebihi RM3.5 bilion.
Menurut Elaine, syarikat baru yang beroperasi kurang dari tiga tahun juga layak untuk mendapatkan pembiayaan, asalkan mereka memiliki dokumen seperti surat setuju terima, surat tawaran kontrak, atau sebut harga.
“Produk pembiayaan kami membantu peniaga menguruskan aliran tunai, memenuhi keperluan operasi, dan mempercepatkan pertumbuhan perniagaan. Bagi mereka yang memerlukan pembiayaan patuh syariah, kami turut menyediakan pilihan yang fleksibel untuk memastikan prinsip kewangan Islam dipatuhi,” jelasnya.
Pengerusi Persatuan Industri Keselamatan Malaysia (PIKM), Datuk Muhammad Ubaidillah pula menyifatkan Planworth sebagai rakan strategik utama dalam sektor keselamatan.
“Planworth bukan sahaja membantu menyelesaikan isu kewangan tetapi juga memberikan nasihat bernilai tinggi. Mereka memahami cabaran syarikat dan bertindak sebagai penasihat dalam pengurusan kewangan,” katanya.
Beliau turut memuji pendekatan dinamik Planworth yang mementingkan kerjasama dan sokongan strategik untuk perniagaan dari pelbagai sektor.
Sementara itu, Elaine menjelaskan bahawa proses kelulusan pembiayaan hanya memakan masa tiga hingga tujuh hari bekerja, dan dana akan disalurkan dalam tempoh lima hari bekerja.
Berbeza dengan bank tradisional, Planworth tidak memerlukan cagaran dan menawarkan kadar faedah yang kompetitif.
Planworth menyediakan pelbagai solusi modal kerja termasuk pembiayaan invois, pembiayaan belian, pinjaman berjangka, kredit pusingan, pengurusan modal kerja, serta pengurusan penghutang. Kesemua produk ini ditawarkan dalam bentuk konvensional dan Islamik untuk model perniagaan B2B (perniagaan kepada perniagaan) dan B2G (perniagaan kepada kerajaan).-UTUSAN