PUTRAJAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan berbincang dengan barisan peguamnya bagi mengambil tindakan selajutnya susulan keputusan Mahkamah Rayuan terhadap bekas Naib Presiden parti itu, Datuk Zuraida Kamaruddin baru-baru ini.
Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya akan melihat alasan penghakiman itu sebelum tindakan lanjut diambil.
Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, parti ada satu lagi platform untuk menyemak semula keputusan itu iaitu Mahkamah Persekutuan.
“Tapi dari segi fakta kes, sabitan semua itu berlaku dan ia dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan. Ini bermaksud tindakan PKR mengenakan cas komitmen kewangan itu adalah betul,” katanya dalam sidang akhbar selepas hadir Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN), di sini hari ini.
Sebelum ini, Mahkamah Rayuan mengarahkan Zuraida supaya membayar bon RM100,000 kepada PKR susulan tindakan melanggar syarat bon yang mengikatnya kepada parti itu.
Keputusan dibuat panel tiga hakim merangkumi Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk See Mee Chun Datuk Azman Abdullah dan Datuk Ahmad Kamal Md Shahid.
Pada 23 Jun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan Zuraida membayar RM10 juta kepada PKR selepas membenarkan saman parti politik itu.
Pada 28 September 2020, Saifuddin yang ketika itu Setiausaha Agung PKR menuntut RM10 juta daripada Zuraida kerana didakwa melanggar syarat bon yang mengikatnya kepada parti.-UTUSAN