SHAH ALAM: PKR dikatakan mempunyai senarai pemimpin dan bekas pemimpin yang mahu menyertai parti itu sejak berlaku perubahan kerajaan menerusi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 2018.
Perkara itu didedahkan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor, Muhammad Izuan Ahmad Kasim yang mendakwa ia termasuk melibatkan bekas pemimpin PKR mahu kembali ke pangkuan parti itu.
“Ia dianggap perkara normal berlaku dalam parti apabila ada individu atau pemipin yang mahu menyertai Keadilan dan semua urusan penerimaan atau kelulusan diputuskan oleh pimpinan parti di peringkat pusat,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Bagaimanapun, beliau yang juga anggota Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Selangor menolak dakwaan berlaku penyusunan atau gerakan dilakukan dari dalam parti untuk menarik masuk pemimpin-pemimpin supaya menyertai parti itu.
Gerakan tersebut termasuk yang dikaitkan dengan Ketua UMNO Bahagian Kota Raja, Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz yang digembar-gemburkan sedang disusun oleh pihak tertentu untuk menyertai PKR.
“Sejak 2018, tiada gerakan atau penyusunan dilakukan untuk mengatur kemasukan pemimpin-pemimpin parti lain untuk menyertai Keadilan, yang berlaku seperti kelaziman adalah mereka mahu menyertai kita.
“Tidak ada tindakan di pihak kita kononnya mahu mencuri mana-mana pemimpin-pemimpin daripada parti lain. Itu tidak berlaku,” jelasnya.
Tengku Zafrul yang juga Menteri Pelaburan, Perdagangan Antarabangsa dan Industri dilapor akan berpindah parti dari UMNO kepada PKR selepas terdapat dakwaan penyusunan kemasukannya ke parti itu.
Bagaimanapun, sumber dalaman UMNO peringkat Bahagian Kota Raja dan Badan Perhubungan UMNO Selangor menafikan perkara itu dan menegaskan tiada isu berkaitan Tengku Zafrul berbangkit dalam mana-mana mesyuarat.
Namun, sumber terdekat Tengku Zafrul ketika dihubungi juga enggan mengulas perkara tersebut dan mengarahkan kesemua pegawai Ahli Dewan Negara itu tidak membuat sebarang kenyataan.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan bekas Ketua UMNO Bahagian Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin kembali dalam arena politik dengan menyertai PKR sekali gus memberi jaminan akan membantu memberi nafas baharu dan menguatkan lagi parti itu dalam misi kembali menawan Perlis dalam PRU16.
Penyertaan bekas Ahli Parlimen Padang Besar itu juga mendapat restu daripada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan serentak dengan itu beliau telah memulakan gerakan dengan menubuhkan 400 ranting di seluruh Perlis. – UTUSAN