Pindah calon SPM 2024 ke asrama sekolah langkah tepat - PM

Pindah calon SPM 2024 ke asrama sekolah langkah tepat – PM

ANWAR Ibrahim pada Majlis Pengumpulan Dana Ihsan MADANI untuk mangsa banjir di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan tindakan Kementerian Pendidikan (KPM) memindahkan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 terjejas banjir ke asrama sekolah adalah langkah tepat.

Perdana Menteri berkata, bencana banjir bukan perkara baharu di negara ini malah, negara berdepan bencana itu sejak beberapa dekad lalu dan tidak pernah menangguhkan peperiksaan itu.

Bagaimanapun, katanya, isu (gesaan tangguh SPM) telah dieksploitasi sepenuhnya oleh pihak pembangkang.

“Sepatutnya, kita perlu berterima kasih kepada semua jentera keselamatan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) atas bantuan diberikan kepada calon SPM itu.

“Ketika di Terengganu, saya bertanya kepada pegawai penyelaras bencana dan mereka memaklumkan sekurang-kurangnya 99.9 peratus calon SPM 2024 di negeri itu akan menghadiri peperiksaan berkenaan.

“Menariknya, daripada pengalaman lalu, pelajar yang ditempatkan di asrama ini cenderung mendapat keputusan yang lebih baik kerana guru-guru akan datang untuk mengajar,” katanya ketika berucap pada Majlis Pengumpulan Dana Ihsan Madani Untuk Mangsa Banjir di sini, hari ini.

Katanya, keputusan peperiksaan lalu juga menunjukkan bahawa pelajar yang masuk ke asrama ini mencapai keputusan yang lebih baik.

Anwar berkata, beliau bagaimanapun tidak bermaksud bahawa bencana banjir perlu berlaku setiap tahun sebaliknya setiap tindakan dan idea yang dilaksanakan itu tepat sekali.

“Saya hanya mengatakan idea (langkah memindahkan calon dan tidak menangguhkan SPM) ini tidaklah buruk. Tetapi sudah tentu, buku dan pen rosak yang menjadi isu besar dibangkitkan pembangkang.

“Tetapi saya ingin mengingatkan mereka (pembangkang) bahawa ini adalah peperiksaan lisan (ujian bertutur)… anda tidak perlukan buku dan pen seperti apa yang pembangkang katakan. Lisan bermaksud lisan lah,” katanya.

KPM sebelum ini memutuskan untuk meneruskan ujian bertutur Bahasa Melayu SPM 2024 bermula 2 hingga 5 Disember lalu seperti dijadualkan biarpun menerima kritikan khususnya oleh pihak pembangkang.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dilaporkan berkata, ujian lisan itu dilaksanakan seperti dijadualkan dimana calon SPM di tiga negeri terutama Kelantan, Terengganu dan Kedah ditempatkan di asrama sekolah.

Menurutnya, seramai 5,377 calon SPM 2024 yang terjejas akibat banjir di tiga negeri itu dan kesemua mereka telah berjaya dipindahkan sehari sebelum ujian lisan itu bermula.

“Calon paling ramai terjejas ialah di Kelantan dengan 3,111 orang, Terengganu (1,734 orang) dan Kedah (532 orang),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya