KUALA LUMPUR: Isu berkaitan takrif hukum syarak yang didakwa ‘dijumudkan’ susulan pindaan Seksyen 2(c) Rang Undang-Undang (RUU) Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2024 (Akta 505) menjadi perbincangan hangat ketika sesi perbahasan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beberapa ahli Parlimen membangkitkan kegusaran itu susulan sebelum ini takrif hukum syarak dalam akta menyebut ‘ia mengikut mana-mana mazhab diiktiraf’, berbanding cadangan pindaan kepada ‘mengikut Mazhab Syafie, atau mengikut mana-mana satu mazhab Maliki, Hanafi atau Hanbali’.
Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim (PN-Arau) ketika berbahas mempersoalkan keperluan untuk pindaan dibuat bagi takrif hukum syarak.
“Dulu kita terbuka iaitu hukum syarak mengikut mana-mana mazhab diiktiraf… sekarang menteri dan timbalan ilmu tinggi, tetapi kita jumudkan pula khusus kepada Mazhab Syafie, Hanafi, Hambali atau Maliki
“Dalam Islam, ada banyak lagi mazhab lain termasuk Mazhab Imam al-Bukhari. Kalau kita jumudkan perkara ini, ia akan menyebabkan lebih banyak perbezaan pendapat dalam kalangan rakyat Malaysia, saya tak setuju,” katanya.
Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan ketika menjawab perkara itu memaklumkan isu itu tidak berbangkit.
“Tafsiran dicadang dalam pindaan ini selaras tafsiran hukum syarak dalam Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah-Wilayah Persekutuan. Malah tafsiran sama diguna pakai oleh 12 negeri lain dalam enakmen pentadbiran masing-masing.
“Ia tidak menyempitkan kerana dalam seksyen lain (RUU ini), mufti dalam membuat fatwa akan merujuk tatacara sebagaimana diperuntukkan dalam Seksyen 39.
“Ia tak buatkan ia sempit kerana Seksyen 39(3) memperuntukkan jika mufti berpendapat tidak ada satu pun qaul muktamad (pendapat yang diterima) yang boleh diikuti tanpa membawa kepada keadaan berlawanan dengan kepentingan awam, maka mufti boleh menyelesaikan mengikut hemat sendiri tanpa terikat dengan qaul muktamad daripada empat mazhab itu,” katanya.
Menjawab pertanyaan Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) mengenai perkembangan Pelan Induk Wakaf Nasional 2025-2030 yang sedang dirangka
Jabatan Wakaf Zakat dan Haji (JAWHAR) dan Yayasan Waqaf Malaysia (YWM), Zulkifli berkata pelan terbabit sudah dibentangkan kepada Majlis Agama Islam Negeri dan pelaksanaannya akan mengambil masa memandangkan ia perlu mendapatkan persetujuan semua negeri.
Dalam pada itu, Dewan Rakyat hari meluluskan RUU Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2024 atau Akta 505 dengan lebih suara bersetuju selepas bacaan kali ketiga oleh Zulkifli.
Ia mengandungi peruntukan berkaitan penguatkuasaan dan pentadbiran undang-undang Islam, penubuhan dan organisasi mahkamah-mahkamah syariah dan perkara yang berkaitan dengannya.
Akta terbabit turut memperuntukkan peranan dan tanggungjawab pelbagai agensi agama di Wilayah Persekutuan, iaitu Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Jabatan Pendakwaan Syariah Wilayah Persekutuan dan Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan.
Zulkifli berkata, walaupun Akta 505 sudah dipinda beberapa kali, terdapat peruntukan lain yang memerlukan pindaan selaras perkembangan semasa bagi memperkemas tadbir urus hal ehwal agama Islam di Wilayah Persekutuan.
Katanya, langkah melaksanakan pindaan juga bertujuan memastikan tadbir urus dan operasi agensi agama dapat berjalan dengan lebih baik dan lancar. – UTUSAN