PETALING JAYA: Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) membentang dan meluluskan Rang Undang-Undang Ordinan Buruh Sarawak (Pindaan) 2024 menandakan pencapaian penting dalam usaha memperkasakan hak pekerja.
Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Mohd Effendy Abdul Ghani berkata, langkah ini mencerminkan dedikasi kerajaan dalam memperjuangkan keadilan serta melindungi hak pekerja di seluruh negara, termasuk Sarawak.
Katanya, pindaan tersebut turut mengakhiri penantian lama bagi usaha penyelarasan undang-undang perburuhan antara Semenanjung Malaysia, Sabah, dan Sarawak.
“Langkah ini bukan sahaja memperkukuh perlindungan pekerja, tetapi meningkatkan keharmonian industri dan daya saing negara di peringkat global.
“Ia mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap nasib pekerja serta kerjasama konstruktif antara kesatuan, majikan, dan pemegang taruh dalam menjayakan agenda kebajikan tenaga kerja,” katanya.
Mengulas lanjut, Mohd Effendy berkata, dengan pindaan ini, lebih 1.46 juta pekerja di Sarawak dijangka menerima manfaat besar, sekali gus mengukuhkan imej Malaysia sebagai negara yang progresif dan adil.
“MTUC berikrar untuk terus menyokong KESUMA dalam memastikan pelaksanaan pindaan ini berjaya demi kebaikan pekerja dan pembangunan negara,” katanya. – UTUSAN