PONTIAN: Orang ramai diminta membantu mengesan ibu bapa atau waris seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun yang ditemukan di kebun jagung di Kampung Pulai Sebatang, dekat sini kira-kira pukul 8.30 pagi semalam.
Kanak-kanak tersebut yang memberitahu namanya ‘Ahmad’ kini menerima rawatan di Hospital Pontian.
Ketua Polis Daerah Pontian, Superintenden Mohammad Shofee Tayib berkata, hingga kini tiada pihak atau ahli keluarga menuntut kanak-kanak itu
Menurutnya, kanak-kanak itu memberitahu sebelum itu, ‘mak ciknya’ berada di kawasan tersebut.
“Daripada maklum balas orang kampung di kawasan tersebut, mereka tidak mengenali kanak-kanak itu dan tidak menolak kemungkinan orang luar,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mohammad Shofee berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pontian telah mengambil kanak-kanak tersebut di Balai Polis Ayer Baloi pada petang semalam untuk dihantar ke Hospital Pontian.
“Pegawai perubatan memberitahu kanak-kanak itu perlu ditahan di wad bagi menerima rawatan lanjut sebelum diserahkan kepada JKM bagi tujuan penjagaan,” katanya.
Justeru, beliau meminta orang ramai yang kehilangan anak boleh menghubungi Ketua Balai Polis Ayer Baloi, Sarjan Mejar Norzizah Kechik menerusi talian 013-7205161 atau mana-mana balai polis berhampiran. – UTUSAN