Piala Cabaran: Penang FC jumpa Gergasi Merah di separuh akhir

Piala Cabaran: Penang FC jumpa Gergasi Merah di separuh akhir

PEMAIN pertahanan Penang FC, Adib Ra'op (tengah) cuba mengawal bola daripada dirampas pemain PT Athletic FC, Azarul Nazarith Azhar (kanan) dalam aksi suku akhir kedua Piala Cabaran 2024/2025 di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang malam ini.-GAMBAR/PT ATHLETIC FC
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Dua gol menerusi tendangan penalti oleh kapten, Rafael Vitor ketika menentang PT Athletic FC sudah cukup untuk memastikan Penang FC melangkah bergaya ke separuh akhir Piala Cabaran 2024/2025 dengan agregat 6-0.

Bagaimanapun, lawan yang menanti mereka pada aksi separuh akhir nanti bukan calang-calang iaitu Selangor yang terlebih dahulu ‘menjinakkan’ Kelantan Darul Naim (KDN) FC dengan agregat 8-1.

Satu lagi separuh akhir pula menyaksikan juara bertahan, PDRM FC akan menentang Kedah dengan kedua-dua aksi pertama bagi saingan tersebut dijangka berlangsung pada 19 Januari depan.

Sementara itu, Penang FC yang turun dengan kelebihan empat gol selepas menang 4-0 dalam aksi suku akhir pertama Piala Cabaran sebelum ini nampak lebih berkeyakinan ketika menentang PT Athletic walaupun aksi babak awal separuh masa pertama antara kedua-dua pasukan dilihat lebih banyak berlegar di tengah padang.

Beraksi selaku pelawat walaupun bermain di laman sendiri, skuad Harimau Kumbang bagaimanapun bernasib baik apabila dihadiahkan tendangan penalti pada minit ke-35 selepas pemain import mereka, Dylan Wenzel Halls dijatuhkan oleh Abdul Latiff Suhaimi dalam kotak penalti.

Meskipun gagal menyempurnakan tendangan pertama yang melambung tinggi di atas palang gol pelawat, Vitor bernasib baik apabila pengadil, Fitri Maskon membenarkan sepakan itu diambil semula.

Kali ini, pemain kelahiran Brazil itu tenang melakukan rembatan leret yang berjaya mengelirukan penjaga gol lawan, Muhammad Syakir Danial untuk gol pertama Penang FC.

Sebelas minit berselang, skuad kendalian Wan Rohaimi Wan Ismail itu sekali lagi berpeluang untuk melebarkan jaringan apabila Wenzel Halls dijatuhkan dalam kotak penalti buat kali kedua oleh pertahanan PT Athletic, Che Mohamad Arif Che Kamarudin.

Vitor yang sekali lagi menggalas tugas untuk mengambil sepakan tersebut nyata tidak menghampakan apabila mudah menolak masuk bola ke penjuru gawang meskipun cuba dicapai oleh Muhammad Syakir untuk gol kedua Penang FC.

Masuk babak kedua, PT Athletic cuba melancarkan serangan ke kubu Penang FC untuk sekurang-kurangnya meraih satu gol, namun, ketumpulan jentera penyudah menyebabkan kelab yang beraksi dalam Liga A1 Semi-Pro itu terpaksa ‘berputih mata’.

Keputusan 0-2 itu seterusnya kekal sehingga tamat perlawanan sekaligus menyaksikan Penang FC berjaya menyamai pencapaian musim lalu apabila mara ke separuh akhir sebelum kecundang di tangan PDRM FC dengan agregat 1-4.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya