TUMPAT: Pewarna dari kilang sos cili yang sudah tidak beroperasi sejak enam tahun lalu menjadi punca ‘bah merah’ yang melanda Kampung Telaga Bata di sini yang tular dalam media sosial.
Seorang penduduk, Mohd. Azam Jusoh, 35, berkata, situasi pelik itu disedari isterinya, Hashah Ismail, 36, pada Ahad lalu semasa kawasan rumah mereka dilanda banjir.
Katanya, dia terkejut melihat keadaan itu dan merakam video kerana bimbang air banjir tersebut dicemari dengan tumpahan kimia.
“Kejadian itu berlaku sekejap sahaja seperti tumpahan pewarna merah mengalir mengikut arus laluan air,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Mohd. Azam memberitahu, hasil ‘siasatannya’, air banjir itu menjadi merah berpunca daripada pewarna daripada kilang sos cili berkenaan.
Katanya, kilang sos cili yang sudah tidak beroperasi itu terletak kira-kira 300 meter dari rumahnya.
Terdahulu video yang dimuat naik oleh Mohd. Azam di TikTok tular dalam media sosial sehingga menimbulkan pelbagai repsons dari pengguna aplikasi itu.
Video itu memaparkan air di kawasan rumahnya yang sebelum ini jernih bertukar menjadi merah. – UTUSAN