ALOR SETAR: Pesawah kawasan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) i-II Kuala Sungai, di sini berputih mata setelah tanaman padi mereka berisiko musnah akibat terendam banjir sejak beberapa hari lalu.
Lebih malang, sebahagian besar mereka tidak sampai seminggu selesai menabur benih padi masing-masing yang berkemungkinan kini sudah rosak.
Saad Ahmad, 77, dari Kampung Alor Gunung berkata, dia berhabis kira-kira RM15,000 baru-baru ini bagi pembelian benih padi untuk keseluruhan 14 hektar sawah diusahakannya bagi musim 2/2024.
“Kos itu tidak termasuk upah menabur benih padi yang mencecah lebih RM2,000. Anak padi yang berusia tidak sampai tujuh hari ini telah ditenggelami air yang bercampur lumpur.
“Jadi tanaman kali ini amat berisiko tinggi untuk mati jika terendam dalam masa yang lebih lama,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Dalam banjir pada pertengahan September lalu, sejumlah 5,388.63 hektar sawah dalam kawasan MADA tenggelam akibat banjir yang melanda negeri ini dan Perlis.
Kawasan sawah terjejas antaranya 20 hektar di Wilayah I Perlis; 1,525.6 hektar di Wilayah II Jitra; 2,206.7 hektar di Wilayah III Pendang dan 1,636.33 hektar di Wilayah IV Kota Sarang Semut.
Sementara itu, Azhar Awang, 54, bernasib baik apabila dia belum sempat menabur benih padi kerana selesai melakukan kerja-kerja membadai di dua hektar sawah miliknya.
“Kalau diikutkan pada hari pertama air mulai naik di sawah itulah saya sepatutnya menabur anak benih padi tetapi tidak sempat berbuat demikian kerana banjir.
“Memang saya sendiri tak rugi banyak tetapi ramai kawan-kawan saya sudah memulakan tanaman masing-masing yang kini menanggung kerugian tinggi kerana pokok padi yang baru tumbuh memerlukan pengawasan rapi serta tidak boleh terendam air dalam tempoh lama,” katanya.
Dalam pada itu, MADA memaklumkan pihaknya masih mengumpulkan data terkini pesawah yang terjejas banjir terutamanya keluasan sawah yang terlibat.-UTUSAN