Peruntukan tambahan banjir RM50 juta untuk Terengganu, Kelantan - PM

Peruntukan tambahan banjir RM50 juta untuk Terengganu, Kelantan – PM

ANWAR Ibrahim (kiri) menyantuni mangsa banjir ketika melakukan lawatan di PPS SK Telaga Papan, Setiu, hari ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM50 juta susulan keadaan banjir yang semakin serius di Terengganu dan Kelantan.

Beliau berkata, bantuan penuh banjir untuk kedua-dua negeri berjumlah RM50 juta setiap negeri, telah disalurkan sebelum ini.

Menurutnya, jumlah keseluruhan peruntukan bantuan banjir untuk Terengganu dan Kelantan masing-masing berjumlah RM75 juta.

Katanya, beliau meluluskan peruntukan tambahan tersebut apabila didapati kesan daripada banjir tersebut lebih daripada jangkaan awal.

“Saya bersetuju supaya peruntukan tambaham segera disalurkan melalui ICU JPM (Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri) sebanyak RM25 juta untuk negeri Kelantan dan RM25 juta untuk Terengganu, jadi (jumlah keseluruhan setiap negeri) RM75 juta.

“Peruntukan ini akan digunakan umpamanya untuk segera membaiki infrastruktur asas seperti jalan raya dan pembentung termasuk menaikkan aras jalan di Hulu Besut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melawat mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Telaga Papan di sini, hari ini.

Selepas itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan turut melawat mangsa banjir PPS SK Mangkuk di sini.

Turut hadir, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.

Anwar menambah, kerajaan menjangkakan peruntukan keseluruhan bantuan banjir di seluruh negara berjumlah RM1 bilion.

“Untuk negeri-negeri lain, kita sedang pantau saya tidak mahu jadi salah faham. Jadi untuk negeri-negeri lain, kita akan memenuhi keperluan dan saya jangka jumlah keseluruhan banjir kali ini hampir mencecah RM1 bilion,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya