KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri sedang mempertimbangkan penggunaan sistem baharu iaitu Kod QR di pintu masuk negara bagi melancarkan pemeriksaan imigresen kepada para pengembara.
Timbalan Menterinya, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, pihak kementerian ingin memperkenalkan penggunaan Kod QR bagi kegunaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Kata beliau, sistem tersebut dijangka dapat mempercepatkan proses pemeriksaan di kaunter imigresen.
“Pengembara hanya perlu mengimbas kod QR yang mengandungi maklumat peribadi serta butiran perjalanan mereka.
“Penggunaan teknologi ini dijangka akan membantu meningkatkan keselamatan dan mengurangkan kesesakan di pintu-pintu masuk negara, terutama pada waktu puncak,” katanya semasa sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, semalam.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan dari RSN Rayer (PH-Jelutong) yang memintanya untuk menyatakan langkah-langkah diambil kerajaan untuk menambah baik perkhidmatan dan bilangan mesin pengimbasan pasport automatik di semua pintu masuk ke tanah air.
Mengulas lanjut, Shamsul Anuar berkata, penggunaan kod QR akan diperluaskan ke pintu-pintu masuk utama negara yang bersesuaian.
Jelasnya, ia termasuk lapangan terbang antarabangsa lain dan pusat pemeriksaan di sempadan darat serta laut.
“Dengan adanya sistem yang lebih bersepadu ini, ia akan meningkatkan kecekapan dalam pengurusan imigresen,” katanya.