MELAKA: Sebarang keputusan untuk meminda atau mengekalkan Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Penjagaan Kesihatan Swasta (Akta 586) perlu dilakukan dengan teliti membabitkan semua pihak berkepentingan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, buat masa ini akta tersebut hanya mengawal caj berkaitan yuran konsultansi doktor pakar sahaja.
Katanya, aspek kawal selia, caj prosedur, penggantian barang boleh habis serta kos langsung rawatan yang terlibat tidak diperincikan dalam akta berkenaan.
“Kita sebenarnya sedang berbincang dengan Bank Negara Malaysia (BNM) dan Menteri Kewangan Kedua (Datuk Seri Amir Hamzah Azizan). Saya yakin isu ini boleh ditangani sama ada perlu pindaan atau tidak, ia bergantung kepada persefahaman antara pihak hospital swasta dan penanggung insurans.
“Kalau mereka boleh dapat satu persetujuan tanpa ada pindaan, itu lebih baik,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Better Brighter Anjung Kasih Yayasan Kebajikan Negara (YKN)-Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Hospital Melaka di sini, hari ini.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, Ahli Parlimen Kuala Langat, Datuk Dr. Ahmad Yunus mencadangkan kerajaan meminda Akta 586 supaya dapat mengawal caj perubatan dan rawatan di peringkat hospital swasta.
Saranan itu susulan tindakan pihak penanggung insurans menaikkan premium insurans antara 40 dan 70 peratus disebabkan kenaikan caj rawatan hospital swasta.
Tambah Dzulkefly, Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) telah mengadakan sesi libat urus bersamanya bagi mencari jalan penyelesaian.
Menurutnya, isu berkenaan bukan perkara sukar untuk diuruskan tetapi memerlukan komitmen semua pihak untuk menjayakannya. – UTUSAN