IPOH: Persembahan oleh Pertubuhan Kebudayaan dan Orkestra Cina Ipoh Perak menerima pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records sebagai persembahan orkestra Cina terbesar atau teramai sempena perayaan Krismas.
Persembahan itu berlangsung malam tadi di Dewan Bandaran Ipoh, melibatkan seramai 210 pemain muzik yang kebanyakkan terdiri daripada kalangan pelajar sekolah seawal usia 10 tahun.
Sebanyak 20 jenis alat muzik terutama alatan tradisional Cina digunakan dalam persembahan tersebut yang disaksikan lebih 200 pengunjung termasuk Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin yang hadir.
Dalam ucapannya, Rumaizi menganggap persembahan itu adalah usaha menjadikan aset kebudayaan sebagai produk pelancongan di Ipoh.
Malah katanya, persembahan itu adalah bertepatan dengan status Ipoh yang tersenarai dalam Rangkaian Bandar Kreatif (UCCN) Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) bagi kategori muzik.
“Rekod Malaysia Book Of Record ini akan membantu bandaraya Ipoh untuk mempromosikan sektor pelancongan dan membangunkan ekonomi tempatan serta menggalakkan anak muda menyertai aktiviti sihat.
“Saya berharap warga Ipoh dan pertubuhan-pertubuhan akan dapat mengadakan atau menganjurkan program seumpama ini agar menarik lebih ramai pelancong ke Ipoh dan memberi peluang kepada warga Ipoh memperkenalkan seni budaya di peringkat antarabangsa,” katanya.
Sementara itu ketua orkestra tersebut, Kok Sing Yee berkata, semua pemain muzik yang terlibat telah menjalani latihan selama tiga hari lalu.
“Idea persembahan ini timbul kerana sebelum ini tiada lagi orkestra Cina yang melibatkan begitu ramai pemain muzik, memainkan lagu sempena Krismas. Satu perkara lagi, kami suka bangunan Dewan Bandaran Ipoh yang begitu ikonik,” katanya.
Dewan Bandaran Ipoh ialah bangunan yang dibina pada zaman British lebih 100 tahun lalu dan kini telah disegarkan semula sebagai pusat seni. – UTUSAN