KUALA SELANGOR: Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Sungai Besar dan bekas Pengurus Besarnya dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, atas pertuduhan menyelewengkan minyak diesel bersubsidi lebih RM622,000 antara Februari dan Mac lalu.
Fikri Mohd. Khomari, 39, dan persatuan itu yang diwakili Pengerusinya, Hamdan Ujah, 65, selaku Orang Kena Saman (OKS), bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas 34 pertuduhan berasingan dibacakan di hadapan Hakim Nurul Mardhiah Mohammed Redza.
Mengikut 17 pertuduhan, kedua-dua OKS didakwa tanpa lesen menjual secara borong barang kawalan iaitu minyak diesel antara 24,000 liter dan 21,840 liter kepada sebuah syarikat menurut Resit Rasmi PNK Sungai Besar.
Bagi 17 pertuduhan lain, tertuduh sebagai pemegang lesen runcit didakwa gagal menyelenggara buku stok yang tidak mengandungi maklumat nama dan alamat pembekal, harga belian, nama dan alamat pembeli, harga jualan barang kawalan bagi transaksi penjualan diesel.
Kesemua kesalahan itu dilakukan di premis PNK Sungai Besar, Sabak Bernam pada 5 Mac lalu. Kesalahan itu melibatkan sebanyak 382,080 liter diesel bernilai RM622,790.40 antara 2 Februari hingga 4 Mac tahun sama.
Justeru, kedua-dua OKS didakwa melanggar Subperaturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 22(1) Akta Kawalan Bekalan 1961.
Bagi syarikat atau persatuan, ia memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM2 juta dan maksimum RM5 juta bagi kesalahan kedua dan seterusnya, jika sabit kesalahan.
Fikri yang juga penjawat awam pula berdepan denda maksimum RM1 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali. Manakala, bagi kesalahan kedua atau seterusnya, memperuntukkan denda maksimum RM3 juta atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Mohd. Sophian Zakaria dan Mohammad Hakiim Izani menawarkan ikat jamin berjumlah RM200,000 kepada Fikri bagi semua pertuduhan manakala PNK Sungai Besar tiada dikenakan jaminan.
“Perkara ini merupakan perkara serius kerana melibatkan 34 pertuduhan dan minyak diesel itu sepatutnya diberikan kepada nelayan. Selain mengambil kira faktor kepentingan awam, ia memberi mesej kepada masyarakat bahawa aktiviti menyeleweng minyak bersubsidi perlu dihentikan,” katanya.
Namun, peguam Navin Punj yang mewakili Fikri memohon pengurangan kerana anak guamnya mempunyai tanggungan isteri, ibu dan tiga anak selain memberi kerjasama penuh sepanjang proses siasatan KPDN.
Peguam Mohaji Selamat mewakili PNK Sungai Besar pula memaklumkan menerima arahan untuk mengemukakan representasi kepada pihak pendakwaan.
Nurul Mardhiah membenarkan kos ikat jamin RM50,000 ke atas Fikri yang turut diarah menyerahkan pasport kepada mahkamah. Sebutan semula kes ditetapkan pada 23 Januari 2025 bagi serahan dokumen.
Utusan Malaysia pada 9 Mac lalu melaporkan KPDN berjaya menumpaskan sindiket penyelewengan minyak diesel bersubsidi nelayan dalam satu serbuan di Sungai Besar.
Hasil pemeriksaan membawa kepada sitaan sejumlah 24,875 liter diesel dan peralatan selain menahan tiga lelaki tempatan berusia 30 hingga 40 tahun bagi membantu siasatan.