SEREMBAN: Perolehan pesawat tempur F/A-18 Hornet milik Tentera Udara Kuwait (KAF) oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) kini di peringkat akhir dan hanya menunggu kelulusan Amerika Syarikat (AS) sebagai negara pengeluar pesawat berkenaan.
Panglima Tentera Udara, Tan Sri Mohd. Asghar Khan Goriman Khan berkata, selepas perolehan tersebut selesai, sudah pastinya pesawat tempur itu akan membantu tugas rondaan lebih efektif oleh TUDM.
“Segala persuratan antara kedua-dua kerajaan telah dilaksanakan, perkara ini sekarang dalam perhatian kerajaan AS dan kita telah tubuh satu jawatankuasa babitkan kementerian, TUDM dan KAF.
“Jawatankuasa ini akan berbincang dan melaksanakan proses mengambil alih pesawat ini kelak. Keperluan pesawat pejuang F/A-18 Hornet ini adalah sementara menunggu (peruntukan) Rancangan Malaysia ke-15 (RMK-15) untuk pembelian yang baharu bagi menjalankan tugas.
“Pesawat pejuang yang ada sekarang terus menjalankan operasi seperti pesawat jenis Su-30MKM juga F/A-18D Hornet. Dengan penambahan pesawat dari Kuwait ini, kita akan dapat laksanakan tugas rondaan lebih efektif,” katanya dalam sidang akhbar pada Hari Anugerah Kecemerlangan TUDM 2024, di Pangkalan Udara Sendayan, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Mohd. Asghar berkata, sementara menunggu RMK-15, TUDM akan sentiasa mengikuti perkembangan teknologi pesawat agar selari dengan kemodenan dunia.
“Kita perlu melaksanakan penilaian yang telus, betul-betul berguna untuk penggunaan pesawat-pesawat ini di rantau ini. Bagaimanapun, keputusan akan dibuat beberapa tahun lagi,” katanya.
Terdahulu, dalam majlis berkenaan, beliau menyampaikan Sijil Penghargaan Panglima Tentera Udara kepada empat pegawai TUDM iaitu Kolonel Mohamad Rosdzni Abdul Karim, Mejar Mohd. Haziq Izzat Sulaiman, Mejar Hasif Yahaya dan Mejar Hairul Zaimy Ibrahim.
Keempat-empat mereka telah mewakili Kementerian Pertahanan dan Malaysia ke Seoul International Invention Fair (SIIF 2024), Korea Selatan pada 27 hingga 30 November lalu dan berjaya merangkul tiga pingat emas dan satu pingat perak semasa pameran tersebut.
Ia merupakan sejarah pertama kali buat TUDM dalam pencapaian di peringkat antarabangsa dalam tempoh 66 tahun.
Sementara itu, Mohd. Asghar memaklumkan, Majlis Hari Anugerah Kecemerlangan TUDM tersebut merupakan acara yang diadakan pada setiap tahun bagi menghargai prestasi setiap pegawai dan anggota TUDM yang telah mengharumkan imej TUDM samada di peringkat TUDM serta negara. – UTUSAN