Perolehan EMU: PAC panggil bukan bermasalah tapi intervensi awal isu tatakelola

Perolehan EMU: PAC panggil bukan bermasalah tapi intervensi awal isu tatakelola

MAS ERMIEYATI SAMSUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tujuan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengadakan prosiding terhadap perolehan kereta api elektrik (EMU) bukan sebab terpalit masalah tetapi ia merupakan intervensi awal bagi mengelakkan isu tatakelola.

Ia susulan perolehan EMU bernilai RM10.7 bilion secara pajakan selama 30 tahun .

Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, keperluan PAC mengadakan prosiding tidak bermaksud perkara itu terpalit masalah daripada segi ketirisan, pembaziran atau penyelewengan.

Malah menurut beliau, PAC turut berperanan melihat sebarang cadangan perolehan atau projek kerajaan sebagai satu platform terbaik untuk kerajaan atau kementerian memberikan penerangan serta penjelasan kepada rakyat secara terus.

“Ini adalah peranan yang perlu dimainkan PAC sebagai sebuah Jawatankuasa Pilihan Parlimen iaitu mekanisme semak imbang antara cabang perundangan dan cabang eksekutif melalui punca kuasa yang diberikan di bawah Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat (PPMMDR), Arahan Perbendaharaan Tahun 2023 dan Pekeliling Am Bahagian 1 Tahun 2024 Organisasi Kementerian-kementerian Jabatan Perdana Menteri (JPM).

“Sebelum ini, banyak pihak memberikan tanggapan kepada PAC bahawa kami sering terlewat untuk memulakan prosiding berhubung isu perolehan atau tatakelola kewangan kerajaan sehinggalah ia bermasalah.

“Perkara inilah yang berlaku dalam banyak prosiding PAC dan yang terbaharu adalah berhubung perolehan sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS)

“Malah, laporan yang dibentangkan turut mengandungi rumusan serta syor kepada kerajaan yang dipersetujui secara konsensus semua 14 Ahli PAC sama ada daripada kerajaan atau pembangkang, selain tujuh wakil tetap (ex officio) jawatankuasa ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook mempersoal keperluan PAC untuk menyiasat perolehan kereta api elektrik secara pajakan selama 30 tahun bernilai RM10.7 bilion.

Beliau menegaskan, perolehan tersebut di bawah kementeriannya, Kementerian Ekonomi, Perbadanan Aset Keretapi dan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) itu masih belum ditandatangani.

“Saya tidak tahu apa yang mereka (PAC) ingin siasat. Kontrak pun belum ditandatangani lagi.

“Tiada apa yang perlu disiasat kerana ini masih di peringkat konsep. Ia belum lagi ditandatangani, seperti yang saya sebutkan di Parlimen banyak kali,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya