KUALA LUMPUR: Membela beberapa kucing terbiar, pelakon dan penyanyi, Hannah Delisha menyokong kempen menyelamatkan kucing ‘adopt don’t shop’ yang kini sedang hangat dibincangkan warganet.
Usaha itu dilakukan susulan daripada insiden kematian kucing di Universiti Malaya yang mengundang perhatian orang ramai.
Menurut Hanna, terkini, dia menyelamatkan seekor anak kucing baka Calico yang dilihat berkeliaran di tengah Lebuhraya Bertingkat Damansara -Shah Alam (DASH) awal tahun ini.
“Bimbangkan keselamatannya dan kasihan melihat kucing itu yang masih terlalu kecil, saya memberhentikan kereta dan membawa kucing itu pulang.
“Ketika itu saya terfikir siapalah yang zalim hingga sanggup meninggalkan anak kucing di tengah lebuh raya.
“Tapi bila melihatkan kenakalannya sekarang yang sudah semakin dewasa, saya rasa kucing yang saya namakan sebagai Dashy mengambil nama lebuh raya itu bukan dibuang tetapi mungkin dia yang naik sendiri ke atas jalan berkenaan,” katanya.
Hanna ditemui Utusan Malaysia di majlis pelancaran dua produk Conboo iaitu Beau3 Milk dan minyak wangi Conboo Scents, di sini, petang tadi.
Tambah penyanyi Esok Masih Ada itu, dia berharap semakin ramai terbuka hati menjaga kucing seikhlas hati dengan memberikan makanan dan kelengkapan yang cukup.
“Saya faham ada sesetengah orang mungkin sukakan kucing yang comel dan mahal, tapi kalau berkemampuan selamatkanlah kucing yang terbiar.
“Jagalah seikhlas hati dengan memberi tempat perlindungan selesa dan makanan mencukupi seperti kita menjaga anak.
“Satu lagi janganlah menjaga separuh jalan sebaliknya berikan komitmen sepenuhnya kepada kucing yang diselamatkan,” katanya.
Terdahulu, kempen menyelamatkan kucing terbiar di media sosial menjadi tular selepas insiden beberapa bangkai kucing ditemui mati di dua lokasi berasingan di Universiti Malaya.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa berkata bangkai kucing yang ditemui sudah dihantar ke makmal veterinar untuk pemeriksaan serta proses bedah siasat.
Selain itu, polis telah merakam keterangan tujuh individu terdiri daripada pensyarah, penuntut Universiti Malaya (UM) dan seorang aktivis haiwan keterangan berhubung kes kematian kucing tersebut. -UTUSAN