KOTA KINABALU: Polis Sabah menolak permit Perhimpunan Aman Gempur Rasuah Sabah yang dianjurkan oleh Suara Mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) susulan tidak memenuhi syarat yang ditetapkan.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, penganjuran perhimpunan itu ditolak bagi memastikan keamanan, ketenteraman dan kesejahteraan pengunjung di Karnival Ria yang diadakan di depan Menara Kinabalu terjamin.
Beliau berkata, difahamkan terdapat dua kumpulan ingin mengadakan perhimpunan di Menara Kinabalu dan situasi itu tentunya akan menimbulkan suasana tidak tenteram kepada pengunjung di karnival berkenaan terutama kanak-kanak.
“Saya menasihatkan kumpulan-kumpulan ini tidak mengadakan perhimpunan bagi kesejahteraan masyarakat. Jadi, saya menyeru mereka yang berhajat sedemikian untuk membatalkan niat mereka mengadakan perhimpunan.
“Sekiranya ada hajat mereka atau niat yang ingin disampaikan, mereka boleh menyampaikan hajat mereka melalui saluran-saluran yang telah disediakan. Tidak perlulah mengadakan perhimpunan yang boleh menimbulkan atau mengganggu ketenteraman masyarakat sekitar,” katanya semasa sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, hari ini.
Menurut Jauteh, mahasiswa UMS telah menafikan penglibatan mereka dengan perhimpunan aman tersebut dan jika ada mahasiswa terlibat, ia bertentangan dengan arahan pihak UMS. Pihak universiti tidak membenarkan mahasiswa terlibat dalam perhimpunan aman sebegitu.
Katanya, permohonan permit Perhimpunan Aman telah dikemukakan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu dan setelah diteliti, ia tidak memenuhi syarat dan pihak penganjur telah dinasihatkan untuk melengkapkan permohonan.
Namun, penganjur gagal melengkapkan permohonan dan sehingga sekarang tiada apa-apa tindakan daripada mereka.
Mengulas lanjut katanya, sekiranya perhimpunan masih diteruskan maka, pihak Polis menasihatkan mereka tidak mengganggu Karnival Ria yang diadakan di depan Menara Kinabalu.
Jauteh berkata, bagi memastikan ketenteraman awam, PDRM akan ditugaskan di kawasan berkenaan agar tiada peserta perhimpunan yang menceroboh masuk ke depan Menara Kinabalu dan melakukan perkara-perkara yang boleh menimbulkan kemarahan pihak lain. – UTUSAN