KUALA LUMPUR: Golongan pesawah akan menerima kadar perlindungan sehingga RM3,000 bagi setiap hektar untuk setiap musim yang terlibat dengan bencana alam.
Inisiatif yang dilakukan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) itu adalah dibawah Skim Takaful Tanaman Padi (STTP).
Timbalan Menterinya, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, skim ini memberi perlindungan kepada pesawah yang terlibat dengan bencana seperti banjir, kemarau, kebakaran semulajadi.
“Selain itu pesawah juga dilindungi sekiranya terlibat dengan bencana banjir kilat, petir, letupan, ribut, taufan, ribut angin, hujan batu, gempa bumi, letusan gunung berapi, tanah runtuh, tsunami, penyakit tanaman dan serangan makhluk perosak,” katanya dalam sesi Dewan Negara, hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Dr. Mohd Hatta Md. Ramli yang meminta KPKM, menyatakan apakah perancangan kementerian dalam membantu para pesawah menghadapi perubahan iklim yang tidak dijangka seperti banjir.
Tambah Joseph, pihak KPKM juga akan melakukan siasatan dan bancian 14 hari selepas banjir selesai untuk tujuan menilai tahap kerosakan terhadap tanaman.
Katanya, bancian itu dilakukan bagi memastikan semua penerima adalah golongan yang memerlukan dan tidak disalahgunakan serta mengelakkan ketirisan.
“Proses bancian dan siasatan yang dijalankan oleh jabatan dan agensi bagi sesuatu kawasan yang terjejas adalah dalam tempoh tiga puluh (30) hari.
“Walau bagaimanapun, proses bancian dan siasatan perlu dijalankan dengan teliti bagi bagi memastikan semua penerima bantuan adalah golongan sasar yang memerlukan dan mengelakkan ketirisan serta penyalahgunaan bantuan tersebut,” jelasnya. – UTUSAN