Perkenal masakan etnik Melaka ke sekolah

Perkenal masakan etnik Melaka ke sekolah

PELAKON veteran Didie Alias (kiri) menemani Ab.Rauf Yusoh menunjukkan demonstrasi memasak kari ikan sempena Festival Masakan Warisan Melaka 2024 di Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan di Banda Hilir, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Masakan tradisional pelbagai etnik di Melaka wajar diketengahkan kepada pelajar-pelajar sekolah di negeri ini agar ia dapat diwarisi oleh generasi tersebut.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, generasi itu perlu didedahkan mengenai keunikan masakan tradisional etnik kaum Melayu, Cina, Baba dan Nyonya, Chetti dan Portugis untuk diwarisi.

Menurutnya, kesedaran mengenai kepentingan memelihara resepi turun temurun masakan etnik Melaka perlu dipertahankan agar tidak hilang dibawa arus permodenan dan pentingnya ia ditanam ke dalam jiwa generasi masa kini.

“Kerajaan negeri akan memulakan langkah memperkenalkan masakan tradisional etnik Melaka ke sekolah-sekolah supaya anak kita akan belajar mengenali masakan tradisi ini untuk diwarisi apabila menempuh hari-hari mendatang.

“Di Melaka kita bukan sahaja ada masakan tradisional Melayu sahaja tetapi ada Cina, Baba dan Nyonya, Chetti dan Portugis yang perlu diasuh kepada generasi muda bagi memastikan ia disambung warisan bagi memperkukuhkan nilai budaya di masa depan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Festival Masakan Warisan Melaka 2024 di Memorial Perisytiharan Kemerdekaan di Banda Hilir di sini hari ini yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman.

Mengulas lanjut Ab. Rauf berkata, festival yang berlangsung selama dua hari itu dapat memperlihatkan kepada pelancong betapa di dalam dunia serba canggih ini tidak melupakan konsep makanan tradisional yang mencerminkan kegemilangan Melaka di masa depan.

Menurutnya, Melaka terkenal dengan pelbagai jenis makanan tradisi seperti kuih bakar, kuih keria, asam pedas, dodol termasuklah laksa nyonya yang menjadi kegilaan ramai.

“Tarikan unik festival anjuran Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) kerana masakan dibuat secara konvensional dan bahan masakan yang disediakan dibuat secara manual dan bukannya menggunakan pes,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya