SHAH ALAM: Perikatan Nasional (PN) memutuskan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) akan dimasukkan dalam manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang dijangka berlangsung tahun hadapan.
Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perjanjian MA63 itu akan menjadi induk kepada manifesto gabungan itu pada PRK kelak.
“Orang Sabah yang ada (dalam dewan) sebar luas, ini janji Presiden bahawa itu akan kita tunaikan dan laksanakan,” katanya dalam ucapan penangguhan Perhimpunan Agung Bersatu kali ke-7 di IDCC di sini, hari ini.
Muhyiddin mengulas kenyataan Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ronald Kiandee yang sebelum itu berkata, tiada satu pun Kerajaan Persekutuan yang menghormati MA63 seperti termaktub dalam Perlembagaan khususnya dalam mengembalikan bayaran 40 peratus hasil negeri kepada Sabah.
Menurut Ahli Parlimen Beluran itu lagi, perkara tersebut dituntut jika PN diangkat menjadi kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).
Dalam sidang media selepas itu, Muhyiddin berkata, beliau segera menyambut ucapan Kiandee berkaitan MA63 sambil menambah Sabah mesti mempunyai hasil pendapatan seperti yang dituntut dalam Perlembagaan.
“Kami dalam Bersatu dan Perikatan Nasional bersetuju dengan perkara itu dan di dalam PRN Sabah ke depan, ia akan menjadi satu teras. Ini janji kita dalam manifesto PRN Sabah nanti,” katanya. – UTUSAN