PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluangkan masa menyaksikan Malam Manifestasi Tiga Seni berlangsung di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada malam tadi.
Acara julung-julung kali diadakan itu merupakan anjuran DBP dengan kerjasama Syarikat Mik & Bell Production Sdn. Bhd. dan Edaran bagi meraikan ekspresi seni melalui integrasi seni visual, puisi, dan muzik.
Hampir 500 hadiri menyaksikan persembahan yang berlangsung lebih sejam itu.
Dalam pada itu, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Sasterawan Negara Datuk Dr Anwar Ridhwan berkata, acara manifestasi seni pernah dimulakan pada tahun 1970-an yang mana ketika itu beliau adalah pegawai muda di DBP.
“Pada awal tahun 1970-an ketika itu saya pegawai muda di DBP, diajak berbincang dengan gergasi sastera pada masa itu, Usman Awang, Keris Mas, Baha Zain, Mohamad Noor Azam mencari idea bagaimana harus melangkah ke hadapan selepas tragedi 13 Mei.
“Kami sampai satu kesimpulan bahawa kami dan para seniman harus mengorak langkah memberi contoh menjalin kesatuan dan perpaduan dalam kerangka integrasi nasional yang lebih luas.
“Pelukis dengan bancuhan medium pancawarna, deklamator puisi dengan pelbagai intonasi dan gaya serta penyair yang mengubah dan mengolah kosakata dan metafora dipertemukan dalam acara manifestasi tiga seni pada tahun 1970-an,” katanya berucap pada Malam Manifestasi Tiga Seni di sini hari ini.
Anwar berkata, beliau menyatakan hasrat kepada Perdana Menteri beberapa bulan yang lalu agar acara tersebut diteruskan.
“Alhamdulillah beliau memberikan persetujuan dan acara yang bermula pada awal 1970-an dijelmakan kembali pada malam ini,” katanya.
Pada program malam ini, pelbagai aktiviti termasuklah pameran karya seni halus dipersembahkan daripada tujuh seniman visual terkemuka seperti Suzlee Ibrahim, Bayu Otomo Rajikin, Hamir Soib, Ahmad Fuad, Masnor Ramli, Liu Cheng Hua dan Aizat Amir.
Ia turut menampilkan sesi deklamasi puisi daripada Sasterawan Negara, Datuk Dr. Zurinah Hassan; Sasterawan Sarawak, Dr. Abang Patdeli Abang Muhi dan Datuk Rahman Shaari selain persembahan lagu puisi oleh Asmidar, Azizul Haqim dan Datuk Ramli Sarip.-UTUSAN ONLINE