PETALING JAYA: Perbezaan kaum dan budaya merupakan resipi kepada kemakmuran pada negara yang mendambakan kerukunan serta keamanan atas dasar mahupun prinsip hidup.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, resipi mengenai perbezaan kaum dan budaya itu sering ditekankan oleh beliau.
Kata beliau, sebarang usaha menanam bibit dan gejala memicu pertentangan kaum mesti dielakkan.
Ini kerana, jelasnya, keseluruhan masyarakat saling memerlu dan melengkapi terutama dalam usaha membina identiti negara bangsa yang berjaya serta berketerampilan.
“Sementalahan, Malaysia tidak seharusnya gagal dan dilumpuhkan hanya kerana kepentingan beberapa kelompok.
“Malah mesti dilonjak nilai dan prinsip keadilan sejagat agar menyemangati hasrat dan harapan besar tokoh dan pendiri bangsa yang mahukan negara ini di baris depan menjulang masa depan serta maruah bangsa,” katanya di dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Anwar merakamkan ucapan selamat menyambut hari Krismas kepada kepada seluruh penganut Kristian.
Katanya, beliau harap seluruh penganut Kristian boleh meluangkan masa secukupnya bersama yang tersayang di hari perayaan itu dan hidupkan kecintaan antara insan.
“Acara dan perayaan Krismas tanggal 25 Disember saban tahun kembali menjelang dan menceriakan ramai penganut Kristian di serata dunia dan Malaysia tidak terkecuali.
“Sebagai negara yang beragam dan rencam ras serta budaya, perayaan-perayaan besar seperti ini terus menjadi sumber kekuatan dan perpaduan di kalangan kaum di Malaysia,” katanya.