KOTA KINABALU: Peralihan pimpinan Pakatan Harapan (PH) Sabah tidak akan mempengaruhi kerjasama yang sedia terjalin dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Ketua Menteri yang juga Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, perubahan pucuk pimpinan itu diharap akan terus mengekalkan hubungan kerjasama dan perpaduan antara PH dan GRS.
Beliau berkata, tiada sebarang masalah untuk GRS meneruskan kerjasama dengan PH biarpun pucuk pimpinan PH Sabah telah berubah.
“Kita ucapkan tahniah sama dia (Datuk Ewon Benedick) sudah jadi Pengerusi PH. Kita harap hubungan kerjasama dan perpaduan antara parti-parti di Sabah terutama PH-GRS akan terus mantap.
“Tahniah kepada Ewon yang memimpin satu gabungan PH dan dalam PH itu sendiri ada parti DAP, PKR, UPKO dan Amanah. Jadi, tambah dengan GRS, kita juga ada banyak gabungan parti,” katanya mengulas perubahan pimpinan PH Sabah yang diumumkan pada Ahad.
Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran Rangka Tindakan Transformasi Sulaman dan pelancaran aplikasi dan buku Retrack, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), hari ini.
Hajiji berkata, beliau mahu kerjasama yang terjalin terus diperkukuhkan demi kebaikan negeri dan rakyat Sabah.
Katanya, pertemuan bersama Ewon yang juga Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) akan dilakukan kemudian.
Pada Ahad, Mesyuarat PH Sabah memutuskan, Pengerusi PH yang sebelum ini disandang oleh Datuk Christina Liew digantikan oleh Ewon selepas Christina kalah dengan enam undian.-UTUSAN