PUTRAJAYA: Peralihan kenderaan kerajaan kepada jenis kenderaan elektrik (EV) akan dilaksanakan secara berperingkat bermula tahun hadapan.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, proses untuk peralihan tersebut kini berada dalam pertimbangan Kementerian Kewangan dan akan dimuktamadkan tidak lama lagi.
“Proses tersebut sudah pun bermula dan akan dimuktamadkan tak lama lagi (tapi) bukan buat sekali gus, ia akan dibuat secara berperingkat-peringkat.
“Tapi saya rasa menjelang tahun hadapan kita akan lihat secara praktis perkara (peralihan kenderaan) itu akan dilaksanakan penggunaan EV di peringkat kerajaan,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyerahkan Garis Panduan Peralihan Kenderaan Kerajaan kepada EV dan perasmian Stesen Pengecas Pantas EV (DCFC) pertama di Kompleks F di sini hari ini.
Menurut beliau, garis panduan tersebut merupakan dokumen panduan teknikal kepada semua kementerian, jabatan dan agensi kerajaan yang memperincikan strategi peralihan kenderaan rasmi kerajaan kepada EV secara teratur dan berkesan.
Jelasnya, ia mengandungi beberapa komponen utama meliputi aspek perancangan, pelaksanaan, penyelenggaraan dan penilaian peralihan kepada EV.
Sementara itu, ditanya sama ada peralihan kenderaan kerajaan itu akan melibatkan semua peringkat dan agensi kerajaan, Nik Nazmi menjelaskan bahawa keputusan berkaitan perkara tersebut adalah tertakluk kepada Kementerian Kewangan.
“Di mana, siapa (akan guna) semua itu kena tunggu bila keputusan akhir itu akan dicapai.
“(Jenis EV) itu terpulang kerana ada beberapa aspek yang perlu diambil kira sebab kalau dalam garis panduan ini kena tengok jenis kenderaan sedia ada, apa keperluan (dan) adakah ia dapat dipenuhi oleh EV tempatan atau EV lain dan sebagainya,” katanya.-UTUSAN