PETALING JAYA: Kerajaan negeri Sabah perlu berfungsi seperti biasa dan memberi peluang kepada pihak berkuasa menyiasat dakwaan rasuah terhadap pemimpinnya.
Ketua Penerangan PKR Sabah, Razeef Rakimin berkata, ini penting bagi kestabilan politik dan dan pertumbuhan ekonomi negeri terbabit.
Malah katanya, siasatan perlu dilaksanakan sehingga mereka yang bersalah didakwa dan dikenakan tindakan undang-undang.
“Kerajaan Madani yang tegas dalam membanteras barah rasuah tidak akan melindungi mana-mana pihak yang terlibat. Pihak berkuasa dan Institusi mahkamah bebas melaksanakan siasatan dan pengadilan sewajarnya.
“Oleh itu biarlah kerajaan negeri berfungsi seperti biasa agar perancangan dan perlaksanaan projek-projek serta aktiviti-aktiviti dalam menjaga kebajikan rakyat dapat berjalan lancar,” katanya, dalam satu kenyataan semalam.
Sebelum ini terdapat desakan agar Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor melepaskan jawatannya ekoran skandal rasuah yang didakwa melibatkan ahli politik di negeri ini. – UTUSAN