PETALING JAYA: Rating pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi tahun kedua meningkat empat peratus berbanding 50 peratus tahun lalu.
Berdasarkan hasil tinjauan Merdeka Centre, rating penerimaan rakyat terhadap Kerajaan Perpaduan juga meningkat lima peratus untuk berada pada 51 peratus, berbanding 46 peratus pada November tahun lalu.
“Pengundi secara amnya berpuas hati dengan prestasi Perdana Menteri dalam beberapa aspek antaranya menarik pelaburan, meningkatkan imej negara dan meningkatkan perkhidmatan awam.
“Namun memberikan penilaian bercampur-campur apabila ditanya mengenai usaha memperkukuh ekonomi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, firma tinjauan juga mendapati rasa tidak puas hati terhadap Kerajaan Persekutuan pada masa ini berada pada tahap 47 peratus.
“Petunjuk ini sebahagian besarnya didorong kebimbangan berterusan mengenai tekanan kos sara hidup dan beberapa kebimbangan mengenai pemotongan subsidi yang dijadualkan akan berlaku,” katanya.
Katanya, sentimen pengundi kekal tertumpu kepada isu ekonomi, di mana 65 peratus menyatakan ia sebagai masalah nombor satu dihadapi rakyat sebagaimana ketika sebelum ini.
Bagaimanapun, peratusan itu menurun berbanding 74 peratus dicatat tahun lalu.
“Sebanyak 53 peratus berpendapat negara sedang menuju ke arah yang salah (berbanding 54 peratus setahun lalu), sementara bilangan pengundi yang berpendapat negara menuju ke arah yang betul meningkat sedikit pada 39 peratus berbanding 36 peratus pada November 2023.
“Sebab utama arah yang salah ialah isu ekonomi (47 peratus), ketidakstabilan politik (tujuh peratus) dan pentadbiran yang lemah, lapan peratus,” katanya.
Tinjauan oleh Merdeka Center dijalankan antara 27 November hingga 10 Oktober lalu, bertujuan mengukur persepsi pengundi terhadap perkembangan semasa. – UTUSAN