SEREMBAN: Seorang penoreh getah dihukum penjara 15 tahun dan lima sebatan oleh Mahkamah Sesyen Seremban hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan sumbang mahram dengan anak perempuannya, lima tahun lalu.
Tertuduh berusia 52 tahun itu membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Datin Surita Budin.
Mahkamah menetapkan hukuman penjara itu bermula dari tarikh tangkapan pada 31 Januari 2020.
Surita berkata, setelah mendengar rayuan tertuduh dan fakta ketetangan bagi kes ini beserta faktor pemberatan daripada pihak pendakwaan, mahkamah mendapati tertuduh didapati bersalah dan diarahkan menjalani pengawasan polis setahun selepas tamat hukuman dan kaunseling pemulihan dua tahun dalam tempoh hukuman berjalan.
Terdahulu peguam mewakili tertuduh, Muhamad Hafiz Leman memohon hukuman penjara minimum untuk anak guamnya bermula dari tarikh tangkapan 31 Januari 2020 serta faktor umur tertuduh.
Sementara itu Timbalan Pendakwa Raya, Norazihah Asmuni dalam hujahannya memohon hukuman setimpal dan mengambil kira faktor kesalahan berat dilakukan tertuduh dalam kes berkenaan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati melakukan sumbang mahram dengan anak perempuannya berusia 11 tahun ketika kejadian yang mana perhubungan tertuduh dengannya adalah tidak dibenarkan di bawah undang-undang untuk berkahwin dengannya.
Kesalahan itu dilakukan lebih kurang pukul 8 malam hingga 12 tengah malam antara bulan Jun sehingga Disember 2019 di dalam bilik di sebuah rumah di Gemencheh, Tampin.
Pendakwaan terhadap tertuduh dibuat di bawah Seksyen 376B Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara tidak kurang 10 tahun dan maksimum 30 tahun dan hendaklah juga disebat, jika sabit kesalahan. – UTUSAN