PETALING JAYA: Kemunculan penyanyi, Misha Omar, menari di atas pentas semasa konsert Misha Omar Back To Basic menerima sorakan dan tepukan gemuruh penonton.
Menerusi showcase pada Sabtu, Misha atau Samihah@Aisah Omar, 42 memperlihatkan bakat menarinya menerusi segmen mash up lagu Oops! I Did It Again nyanyian asal Britney Spears dan Bye Bye Bye oleh NSYNC.
Bukan itu sahaja, penyanyi Pulangkan itu turut mencuri tumpuan apabila menari sambil menyanyikan lagu Watch Me Glow daripada kumpulan sensasi Dolla.
“Sebenarnya, saya tak nafikan saya seorang penyanyi paling malas bergerak. Saya belajar (menari) hanya tiga kelas dan setiap sesi memakan masa 40 minit sahaja memandangkan agak sibuk sedikit hujung tahun.
“Jadi, sudah tiba masanya untuk ‘si ketam tua jalan kiri kanan depan belakang’. Memang sukar pada mulanya, tapi saya suka.
“Tentang lagu Dolla tadi, saya sempat bergurau dengan bos, bertanya kalau Dolla perlukan seorang lagi ahli untuk diisi.
“Orang tak tahu mereka berusia 40-an juga suka Dolla. Lirik lagu mereka juga bagus sekali dan sangat memberi inspirasi. Jadi, saya cubalah,” katanya.
Misha ditemui Utusan Malaysia semasa sesi sidang media di Odeum, Jiospace, Petaling Jaya selepas showcase.
Bukan itu sahaja, Misha tidak menafikan persembahan tersebut merupakan antara usaha untuk meraikan pendengar muda yang turun padang menyaksikan nyanyiannya.
“Kita cuba untuk memuaskan hati semua peringkat umur dan saya menyedari banyak ibu bapa memaksa anak mereka untuk medengar lagu saya.
“Hari ini juga ada ibu bapa yang turut membawa anak mereka bersama-sama. Ia sebuah pengalaman yang indah untuk dilihat,” tambahnya.
Sepanjang persembahan yang memakan masa hampir tiga jam itu, Misha menyanyikan 14 lagu termasuklah Sampai Bila, Cinta Adam dan Hawa, Pulangkan, Dedebu Cinta dan banyak lagi.
Misha turut memberikan sokongan kepada penyanyi muda tanah air apabila turut mendendangkan lagu Masing-Masing (Ernie Zakri), Peluang Kedua (Nabila Razali) dan Semalam (Aina Abdul) semasa persembahan. -UTUSAN