Penjenayah beri alasan ragut pelancong Rusia untuk bayar hutang

Penjenayah beri alasan ragut pelancong Rusia untuk bayar hutang

Mohamad Lazim Ismail pada sidang akhbar di IPD Wangsa Maju di sini hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Polis menahan dua lelaki tempatan dipercayai terlibat dengan kes ragut seorang pelancong Rusia di Jalan Sejahtera di sini pada 12 Disember lalu. 

Kedua-dua suspek berusia 29 dan 30 tahun itu ditahan sepasukan anggota dan pegawai dari Cawangan Jenayah Berat (D9) Bahagian Siasatan Jenayah Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju di tempat meletak motosikal di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pekan Kepong di Jalan Silang di sini. 

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail berkata, penahanan itu dibuat susulan kejadian ragut membabitkan seorang wanita warga Rusia berusia lingkungan 50-an yang dalam perjalanan ke Transit Aliran Massa (MRT) Ampang Park untuk ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 12 Disember lalu. 

“Ketika kejadian, beg dibawa mangsa diragut dua suspek menaiki motosikal. Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kerugian kira-kira RM10,000.

“Hasil soal siasat yang dijalankan mendapati kedua-dua suspek mengaku terlibat dalam kejadian terbabit,” katanya dalam sidang akhbar di IPD Wangsa Maju di sini hari ini. 

Menurutnya, pihaknya turut merampas sebuah motosikal dan kunci, dompet jenama POLO, beg sandang, topi keledar dua keping resit pertukaran mata wang bernilai Dollar Amerika Syarikat $AS1,500 (RM6,630) serta Rupiah Indonesia 10.26 juta (RM2,854.78), dua telefon bimbit dan pelbagai pakaian berjenama. 

Jelasnya, suspek mengaku membahagikan hasil samun  untuk menjelaskan hutang dan telah menukar wang tunai di dua buah pusat beli-belah di Gombak dan Cheras. 

“Siasatan mendapati suspek pertama mempunyai 33 rekod jenayah dan baru keluar dari Penjara Kajang pada 31 Julai lalu manakala suspek kedua pula tujuh rekod lampau. 

“Suspek juga mengaku telah membuang beg milik pengadu di Sungai Keroh tepi jalan Undang Kepai, Segambut selain turut terlibat dengan tiga lagi kes di Kuala Lumpur,” katanya.

Menurut Mohamad Lazim, sebanyak tiga kertas siasatan dibuka membabitkan dua di bawah IPD Wangsa Maju manakala satu lagi berkaitan kes IPD Dang Wangi. 

“Kedua-dua suspek akan dituduh di Mahkamah Kuala Lumpur berkaitan kes ragut. 

“Pihak polis juga merakamkan ucapan jutaan terima kasih kepada orang awam yang memberikan maklumat sehingga tertangkapnya suspek. 

“Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai perbuatan jenayah yang berlaku, boleh menyalurkan maklumat ke Pusat Kawalan IPD Wangsa Maju di talian 03-92899222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya