KUALA LUMPUR: Sekumpulan sindiket curi kabel bertindak nekad merempuh anggota polis selepas aktiviti mereka disedari di Jalan Lang Hitam, Manjalara, Kepong, di sini, 4 Disember lalu.
Bagaimanapun, tindakan berbahaya sindiket tersebut berakhir dengan penahanan tujuh lelaki tempatan dalam operasi yang dijalankan di Kuala Lumpur dan Selangor pada 4 hingga 8 Disember,
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul 5.15 pagi apabila anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB), Balai Polis Kepong terserempak dengan dua kenderaan jenis Ford Ranger dan Perodua Myvi yang dilihat mencurigakan.
Katanya, anggota polis yang sedang melakukan rondaan cegah jenayah kemudian mengarahkan kedua-dua kenderaan tersebut berhenti untuk pemeriksaan namun suspek bertindak memecut dan cuba melanggar polis yang bertugas.
“Akibatnya, satu das tembakan terpaksa dilepaskan ke arah tayar kenderaan suspek.
“Susulan itu, sepasukan Cawangan Siasatan Khas (D9) IPD Sentul melancarkan lima serbuan di sekitar Lembah Klang yang membawa kepada penahanan tujuh lelaki berusia antara 19 hingga 32 tahun,”katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul, di sini, hari ini.
Menurutnya, kesemua suspek dipercayai terlibat dalam kegiatan curi kabel sejak tiga bulan lalu.
Jelasnya beliau, polis turut merampas sebuah Perodua Myvi, Ford Ranger dan 10 telefon bimbit pelbagai jenama.
“Ujian saringan air kencing terhadap semua suspek mendapati mereka positif dadah selain mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kesalahan berkaitan jenayah dan dadah,” katanya.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh, yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun,”katanya.
Dalam kes berasingan, Ahmad Sukarno memaklumkan pihaknya menahan seorang lelaki berusia 25 tahun disyaki terlibat dalam kes pemerasan gerai makan di Jalan Sentul Pasar, 5 Disember lalu.
Menurutnya, pengadu yang juga peniaga sebuah gerai memaklumkan telah didatangi oleh suspek yang meminta bayaran sebanyak RM500 sebagai wang perlindungan untuk mengelakkan gerainya dirosakkan.
“Pada pukul 2.30 petang hari sama, suspek datang semula ke gerai pengadu, mengambil makanan, dan beredar tanpa membuat bayaran.
“Pengadu yang khuatir tentang keselamatan diri dan perniagaannya, membuat laporan polis,” katanya.
Menurutnya, bertindak atas maklumat, pihak polis berjaya menangkap suspek di Jalan Sentul Pasar, di sini, Ahad lalu.
“Hasil siasatan mendapati suspek mempunyai 15 rekod kesalahan lampau berkaitan jenayah dan narkotik, namun tidak mempunyai kaitan dengan kongsi gelap,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan ketakutan untuk melakukan pemerasan.– UTUSAN