Penjaja perlu dapat kebenaran, ikut syarat Majlis Bandaraya Seremban

Penjaja perlu dapat kebenaran, ikut syarat Majlis Bandaraya Seremban

PEGAWAI penguat kuasa MBS mengambil tindakan sitaan barangan penjaja yang gagal mematuhi syarat ditetapkan iaitu dengan meninggalkan barangan di tempat awam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Semua aktiviti penjaja di kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Seremban (MBS) perlu mendapat kebenaran bertulis dan mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan.

Datuk Bandar MBS, Datuk Masri Razali berkata, pihaknya sentiasa prihatin terutama berkaitan peniaga kecil namun sebagai pihak berkuasa tempatan (PBT), MBS bertanggungjawab memastikan undang-undang dan peraturan tersebut dipatuhi.

Jelasnya, langkah penguatkuasaan yang diambil termasuk sitaan adalah bertujuan membendung pelbagai isu antaranya keselamatan makanan, keselamatan pengguna jalan raya, kebersihan, landskap dan berkaitan menggaji pekerja asing.

“Ia juga berkaitan isu berniaga di lampu isyarat atau laluan keluar dan masuk simpang yang membahayakan pengguna jalan raya selain masalah parkir kenderaan yang boleh menyebabkan gangguan lalu lintas serta risiko kemalangan.

“Prosedur penguatkuasaan terhadap penjaja tanpa lesen ini adalah seperti notis bertempoh kepada pemilik perniagaan, notis kompaun kepada pemilik yang tidak mematuhi notis bertempoh serta sitaan terhadap barang yang ditinggalkan di tempat awam selepas tamat perniagaan. Pemilik boleh membuat rayuan untuk semua prosedur ini,” katanya di sini hari ini.

Beliau mengulas komen dan aduan yang dibangkitkan pelbagai pihak termasuk wakil rakyat berkaitan tindakan MBS yang menjalankan aktiviti penguatkuasaan termasuk dengan merampas barangan penjaja.

Masri dalam pada itu berkata, bagi mengatasi pelbagai isu tersebut, MBS telah menyediakan beberapa inisiatif bagi membantu penjaya antaranya menyediakan 670 petak bagi tapak penjaja setempat.

“Selain itu, kami juga menyediakan 79 unit pusat penjaja berstruktur tiang dan berbumbung, menyediakan 80 unit MyKiosk serta pengecualian lesen penjaja,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya