Peningkatan kadar letak jawatan doktor jejas sektor kesihatan

Peningkatan kadar letak jawatan doktor jejas sektor kesihatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Purata tiga doktor meninggalkan perkhidmatan kerajaan setiap hari dalam tempoh lima tahun lalu merupakan satu situasi yang amat membimbangkan dan perlu diberi perhatian segera.

Dalam jawapan bertulis Kementerian Kesihatan (KKM) menyatakan, seramai 6,417 pegawai perubatan kekal serta kontrak meletak jawatan antara 2019 dan 2023.

Ahli Dewan Negara, Senator Dr. RA Lingeshwaran berkata, kekurangan doktor dan bebanan kerja menyebabkan waktu menunggu rawatan di hospital kerajaan khususnya semakin lama iaitu sehingga berjam-jam.

Katanya, kerajaan disarankan menubuhkan jawatankuasa khas untuk menangani isu ini, bagi mencegah keruntuhan sistem kesihatan negara.

“Tekanan kerja tambahan seperti waktu kerja 45 jam seminggu untuk jururawat menambah bebanan kepada petugas kesihatan.

“Kesesakan di hospital kerajaan semakin kritikal, dengan pesakit menunggu rawatan sehingga berjam-jam tetapi hanya menerima konsultasi kurang 10 minit,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Terdahulu, media melaporkan seramai 1,046 pakar meninggalkan perkhidmatan awam dalam tempoh sama, dengan 63 daripadanya memilih bersara awal selepas mencapai usia 50 tahun.

Mengulas lanjut, Lingeshwaran berkata, walaupun terdapat ramai graduan perubatan baharu, peningkatan doktor yang meletak jawatan menyebabkan nisbah ideal satu doktor kepada 420 pesakit semakin sukar dicapai.

Katanya, ini berpotensi menyebabkan bebanan lebih besar kepada doktor yang masih bertugas terpaksa menangani jumlah pesakit yang semakin ramai.

“Pelaksanaan insurans kesihatan turut berpotensi meningkatkan harga insurans dan menyebabkan ramai rakyat tidak mampu membayar dan beralih ke hospital kerajaan.

“Maka hospital kerajaan akan menghadapi tekanan yang lebih besar dengan doktor, jururawat dan petugas kesihatan menjadi lebih tertekan akibat bebanan kerja. Akibatnya, mereka berhenti kerja,” katanya.

Dalam pada itu, Jurucakap Hartal Doktor Kontrak, Dr. Muhammad Yassin berkata, beban kerja berlebihan dan kekurangan kakitangan adalah antara faktor utama yang mendorong ramai doktor meletak jawatan.

Katanya, gaji dan elaun yang tidak setimpal serta tekanan daripada pihak atasan menambah tekanan kerja dalam kalangan pegawai perubatan.

“Ketiadaan jaminan pekerjaan juga menyebabkan ramai doktor memilih untuk meninggalkan sektor kesihatan awam.

“Langkah segera harus diambil bagi menangani isu ini supaya tenaga kerja perubatan kekal dalam sistem kesihatan negara,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya