TAIPING: Seorang peniaga pisang goreng sebak ketika mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas pertuduhan melakukan khianat dengan api sehingga menyebabkan sebuah motosikal terbakar, Khamis lalu.
Tertuduh, Zainatul Rafeda Zainul Abidin, 43, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Nabisha Ibrahim.
Mengikut pertuduhan, ibu kepada empat anak itu didakwa telah melakukan perbuatan khianat dengan api sehingga menyebabkan kerosakan kepada harta iaitu sebuah motosikal jenis Honda RSX warna hitam bernilai RM7,000 milik Zainatul Syakira Amira Zaini, 22.
Perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh di Jalan Masjid Pokok Assam di Taiping pada pukul 3.50 petang, 26 Disember 2024.
Kesalahan itu dikemukakan terhadap tertuduh mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Fahmi Kamaluddin manakala tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Ng Wei Jun.
Terdahulu, ketika diberi peluang untuk membuat rayuan di hadapan Nabisha, Zainatul Rafeda berkata, pertuduhan yang dikemukakan itu merupakan kesalahan pertamanya dan dia telah menyesal dengan perbuatan tersebut.
“Saya mengaku bersalah, saya menyesal Yang Arif,” ujarnya.
Wanita dilepaskan dengan jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan sementara menunggu tarikh jatuh hukum pada 14 Januari depan.
Media sebelum ini melaporkan seorang wanita ditahan berikutan tindakannya membakar sebuah motosikal yang hendak ditarik ekoran gagal menjelaskan bayaran tertunggak selama 20 bulan.