JEMPOL: Seorang peniaga dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bahau di sini hari ini di atas pertuduhan memandu secara berbahaya hingga menyebabkan kematian seorang pelajar tingkatan lima dalam satu kejadian di Kilometer 0.5, Jalan Bahau-Rompin Oktober lalu.
Tertuduh, G. Chandra, 59, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Norshazwani Ishak.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh sebagai pemandu sebuah trak jenis Mitsubishi Triton telah memandu kenderaan tersebut di atas jalan raya dengan cara yang berbahaya kepada orang awam hingga menyebabkan kematian kepada seorang pelajar sekolah lelaki berusia 17 tahun kira-kira pukul 12.15 pagi pada 27 Oktober lalu.
Pertuduhan dilakukan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara antara lima hingga 10 tahun dan denda antara RM10,000 dan RM50,000, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Siti Huzaifah Abdul Talib kemudiannya memohon satu tarikh sebutan semula kes bagi lantikan peguam serta menawarkan jaminan sebanyak RM8,000.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon agar jaminan dikurangkan memandangkan pendapatannya tidak menentu serta menanggung keluarga, selain suami tidak bekerja kerana mengalami masalah buah pinggang.
Majistret kemudian menetapkan wang jaminan sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin beserta lesen digantung sehingga kes selesai. Kes disebut semula pada 15 Januari ini bagi lantikan peguam.
Pada 27 Oktober lalu, media melaporkan seorang pelajar maut manakala rakannya cedera selepas motosikal dinaiki mereka bertembung dengan sebuah trak. – UTUSAN