MELAKA: Seorang pengurus syarikat direman tiga hari bermula hari ini selepas disyaki meminta dan menerima wang berjumlah RM375,000 daripada seorang individu bagi mendapatkan gelaran Datuk Seri daripada sebuah negeri, dua tahun lalu.
Perintah reman sehingga 19 Disember ini dikeluarkan Majistret Nabilah Nizam terhadap suspek lelaki berusia 54 tahun itu.
Suspek yang memakai pakaian lokap berwarna jingga tiba di Kompleks Mahkamah Ayer Keroh di sini kira-kira pukul 9 pagi tadi dengan diiringi pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Suspek ditahan pukul 5.10 petang semalam selepas hadir ke pejabat SPRM Melaka untuk memberi keterangan.
Sementara itu, Pengarah SPRM Melaka, Adi Supian Shafie ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 yang mana tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun, jika sabit kesalahan.-UTUSAN