PASIR MAS: Seorang pengurus gudang sebuah pasar raya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini semalam ini di atas pertuduhan memindahkan barangan kawalan iaitu 2.41 tan minyak masak dan 480 kilogram (kg) gula ke premis yang tidak dilesenkan pada Januari lalu.
Muhamad Hilmi Mohamad Ashari, 35, yang merupakan pegawai pengurus gudang sebuah pasar raya didakwa telah memindahkan barangan kawalan iaitu minyak masak seberat 2,411 kg dan 480 kg gula pasir kasar tanpa kebenaran sah.
Muhamad Hilmi dituduh memindahkan barangan itu dari premis yang dinyatakan dalam lesen di Jalan Tengku Petra Semerak, Kota Bharu ke alamat tidak dinyatakan dalam lesen iaitu di Kampung Lubuk Tapah, Lati di sini kira-kira pukul 9 malam pada 14 Januari lalu.
Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 22(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Bagi kesalahan kali kedua atau seterusnya, sabit kesalahan OKS boleh didenda maksimum RM3 juta atau penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali.
Hakim Zulkifli Abdullah kemudian membenarkan ikat jamin RM 20,000 dengan seorang penjamin dan syarat-syarat yang ditetapkan oleh pihak pendakwaan dan menetapkan 3 Februari tahun depan untuk sebutan semula kes, serahan dokumen dan lantikan peguam.