Pengorbanan isteri terlalu besar, tak mampu terbalas - Nine Cico - Utusan Malaysia

Pengorbanan isteri terlalu besar, tak mampu terbalas – Nine Cico

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Penyanyi kumpulan Coco, Zulqarnain Jaafar, 43, menyifatkan pengorbanan isterinya, Feride Hikmet terlalu besar sehingga tidak mampu terbalas.

Penyanyi yang turut dikenali sebagai Nine ini berkata, sejak dirinya diuji dengan masalah kesihatan akibat serangan ‘cerebellar stroke with brainstem damage’ lebih tiga bulan lalu, isterinya itulah yang banyak membantu dan menjaga segala keperluannya.

Malah, kata Nine, keadaannya itu juga memerlukannya bergerak menggunakan kerusi roda dan hanya minum susu secara tiub.

“Alhamdulillah, saya reda dan menjalani kehidupan seperti biasa saja ketika ini. Allah Maha besar dan saya tidak boleh gambarkan perasaan saya. Cuma, saya bersyukur dengan apa yang Allah sudah berikan.

“Pada awalnya, saya kena serangan jantung pada Julai lalu dan kemudiannya strok (angin ahmar). Lama juga saya dirawat di hospital, namun saya ucapkan terima kasih kepada semua yang membantu mendoakan kesembuhan saya.

“Bagaimanapun, saya sangat terhutang budi dengan isteri saya, Feride yang begitu besar pengorbanannya terhadap saya dan anak-anak. Mati hidup semula pun saya tak boleh bayar,” katanya.

Selain itu,Nine tidak menolak bahawa kekuatan dirinya untuk bangkit pulih kembali adalah mengambil semangat isteri dan anak-anak selain memasang minda yang positif.

“Isteri saya yang sebenarnya banyak memberikan sokongan dan sentiasa positif. Daripada semangat kuat dia (isteri), saya pun jadi kuat sebab kalau dia lemah, saya percaya saya pun akan lemah.

“Terus-terang saya cakap kalau bercerita mengenai isteri, memang saya tak boleh gambarkan perasaan ini. Saya terhutang budi yang tidak terhingga dengannya dan ia tak boleh saya bayar sampai bila-bila,” katanya.

Terdahulu, Nine yang ditemani Feride hadir pada Malam Silaturahim yang memberi bantuam sumbangan kepada penggiat seni dan media memerlukan di Saloma Bistro, baru-baru ini.

Bapa dua anak yang kini dalam fasa pemulihan menerusi sesi fisioterapi ini berkata, dia bertuah kerana mendapat sokongan padu dan pembakar semangat daripada ibu bapa serta ahli keluarga untuk terus kuat.

“Harapan saya kini ingin kembali sihat semula. Insya-Allah, kalau diberikan kesembuhan selepas ini, saya hendak bekerja macam biasa, terutama berniaga kerana saya sangat suka berniaga.

“Saya pun kalau boleh tidak mahu lagi menyusahkan sesiapa, terutama isteri dan anak-anak. Saya mahu keluarga kecil saya ini gembira dan bahagia macam dulu ,” katanya.

Mengulas karier seninya, Nine berkata, dia masih lagi boleh bermain peralatan muzik dan tidak bercadang mahu meninggalkan kerjaya seni kerana sebab utama kedatanganya ke ibu kota dulu sebab mahu jadi pemuzik. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya