Penghantar barang didakwa rompak barang kemas

Penghantar barang didakwa rompak barang kemas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang penghantar barang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan merompak barang kemas, minggu lalu.

Mengikut pertuduhan, tertuduh, Muhammad Putra Zulfaiz Zaidi, 30, didakwa merompak seutas rantai emas milik R. Saravanan yang bernilai RM6,500 di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Abdullah, Jalan Jambu Gajus Jinjang Selatan dekat sini pada pukul 1 petang, 13 Disember lalu.

Lelaki itu didakwa di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan hendaklah juga dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Ikhwan Mohd Nasir tidak mencadangkan sebarang jaminan kerana ia merupakan kesalahan yang tidak boleh dijamin.

“Pihak pendakwaan tidak menawarkan sebarang jaminan kerana tertuduh ada kesalahan lain dan akan dituduh di Mahkamah Majistret atas kesalahan dadah.

“Tertuduh telah melakukan kesalahan jenayah dan mungkin akan menyebabkan kacau ganggu kepada orang awam. Sekiranya jaminan diberikan, boleh berlaku ‘flight risk’,” kata Mohamad Ikhwan.

Bagaimanapun, peguam bela Daneish Thayalan yang mewakili tertuduh merayu mahkamah memberikan ikat jamin yang rendah kepada tertuduh.

“Saya difahamkan, tertuduh menghidap penyakit jantung dan perlu menanggung ibu yang sedang sakit tua dan kencing manis. Gaji yang diterima oleh anak guam saya hanya RM1,500 sebulan,” kata Daneish.

Hakim Azrol Abdullah tidak membenarkan sebarang jaminan dan menetapkan 28 Februari hadapan untuk serahan dokumen. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya