PETALING JAYA: Pas percaya penggemblengan kekuatan moral antara dua komuniti agama terbesar di negara ini iaitu Islam dan Kristian mampu memainkan peranan besar demi kepentingan dunia sejagat.
Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, ia penting untuk melahirkan dunia yang lebih aman dan bebas daripada keruntuhan akhlak, akhlak, peperangan, kezaliman, kebencian, kelaparan serta ketidakadilan untuk semua orang.
“Dengan latar belakang akar agama Ibrahimiyyah yang sama, Pas percaya umat Islam dan penganut Kristian mempunyai banyak persamaan, baik daripada segi asas kepercayaan mahupun amalan serta mampu menyumbang kepada penciptaan negara yang lebih baik.
“Kepercayaan monoteisme, perkongsian para Nabi dan Rasul, kedudukan mulia Maryam, kehidupan selepas mati serta balasan syurga dan neraka, amalan berpuasa serta keunggulan sedekah adalah antara persamaan yang bertujuan membentuk watak manusia yang baik serta berguna kepada diri sendiri dan juga masyarakat,” katanya di dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, Takiyuddin yang mewakili Pas itu mengucapkan Selamat Hari Krismas kepada semua penganut Kristian di Malaysia.
Jelasnya, Pas turut berharap sambutan Krismas tahun ini akan berjalan dengan selamat dan lancar sebagaimana tahun-tahun lalu.
“Sebagai komuniti agama ketiga terbesar di negara ini, sambutan hari kebesaran penganut Kristian adalah sebahagian penting budaya besar Malaysia yang menambah kepada warna warni pengalaman hidup rakyat
“Selain itu, ia menyumbang kepada pembentukan jati diri masyarakat yang lebih matang, saling menghormati serta bertimbang rasa.
“Pas meraikan dan menyambut baik aspek pengayaan pengalaman itu dan kesan positifnya ke arah pembinaan masyarakat Malaysia yang lebih berkualiti dan bermoral bersandarkan nilai nilai keagamaan yang luhur dan suci,” katanya.