KUBANG PASU: Seorang lelaki berusia 40-an dikhuatiri lemas ketika sedang memukat ikan di sungai berhampiran Jalan Paya Kubang Lembu di Kampung Tok Kesop, di sini petang semalam.
Ketua Zon 1 Bomba Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Ahmad Aminuddin Abd Rahim berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada pukul 7.29 malam.
Katanya, pencarian awal mangsa sudah dilakukan di sekitar tebing dan permukaan sungai terbabit.
“Seramai 15 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra dan Pasukan Gerak Cepat (PGC) yang sedang terlibat dengan kes banjir dikerahkan ke lokasi kejadian,” katanya.
Difahamkan, mangsa yang bekerja sebagai pengawal keselamatan masih belum ditemui setakat ini dan pasukan penyelamat di air (PPDA) turut berada di lokasi. – UTUSAN