KUALA LUMPUR: Seorang pengarah syarikat produk berasaskan durian mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan pecah amanah wang syarikat itu, dua tahun lalu.
Mengikut pertuduhan, pengarah syarikat Musang Durian Frozen Food (M) Sdn. Bhd., Datuk John Lee Siew Neng, 59, didakwa telah mengeluarkan wang RM195,401 di syarikat berkenaan di Taman Perindustrian Kip, Sentul di sini antara 24 Februari dan 25 Ogos 2022.
Lelaki itu didakwa di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum dua tahun atau maksimum 20 tahun dengan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Raihanah Abd. Razak tidak mencadangkan sebarang jaminan atas alasan kesalahan itu tidak boleh dijamin.
“Namun, jika mahkamah membenarkan jaminan, pendakwaan mencadangkan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan tertuduh perlu menyerahkan pasport ke mahkamah sehingga kes selesai,” kata Raihanah.
Bagaimanapun, peguam bela, Aida Jaafar Mad Ariff yang mewakili tertuduh merayu jumlah jamin yang rendah atas alasan anak guamnya mempunyai tanggungan keluarga dan perniagaannya kurang stabil.
Hakim Siti Aminah Ghazali kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan seperti dimohon pihak pendakwaan.
Mahkamah juga menetapkan 17 Februari depan untuk sebutan semula kes. – UTUSAN