PUTRAJAYA: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) hari ini mengumumkan pertukaran dan pelantikan lapan pengarah negeri baharu serta seorang komandan cawangan Akademi Bomba.
Ketua Pengarahnya, Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, kenaikan pangkat dan pertukaran pusingan kerja itu membabitkan pengarah JBPM Kuala Lumpur, Sabah, Sarawak, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kelantan, Terengganu, Perlis dan Wilayah Persekutuan Putrajaya.
“Warga kerja JBPM mengucapkan tahniah dan selamat manjalankan tugas kepada semua pegawai kanan jabatan yang kini menggalas tanggungjawab sebagai Pengarah Bomba Negeri yang baharu.
“Teruskan memberikan perkhidmatan kebombaan yang terbaik kepada masyarakat dengan penuh berintegriti,” katanya pada Majlis Perhimpunan Bulanan di sini hari ini.
Pada Majlis Menandatangani Dokumen dan Penyerahan Nota Serah Tugas itu, Hassan As’asri Omar dilantik sebagai Pengarah JBPM Kuala Lumpur, diikuti Jainal@Zinal Madasin sebagai pengarah bomba Sabah, dan Jamri Masan sebagai pengarah bomba Sarawak.
Sementara itu, Mohamad Shoki Hamzah kini menjawat jawatan Pengarah JBPM Pulau Pinang, Nor Ariffin Kamari (Pengarah JBPM Negeri Sembilan), Farhan Sufyan Borhan (Pengarah JBPM Kelantan), Nor Mahathir Muhamad (Pengarah JBPM Terengganu), Abdul Manaf Che Isa (Pengarah JBPM Putrajaya) dan Wan Mohd Hamizi Wan Mohd Zin sebagai Pengarah JBPM Perlis.
Manakala, Syufaat Kamaron pula dilantik menjadi Komandan Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Tengah. – UTUSAN