KUALA LUMPUR: Seorang penganggur warga Indonesia didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mencuri barangan kontraktor, minggu lalu.
Majistret Farah Nabihah Muhammad Dan membuat keputusan itu selepas tertuduh, Rahmat Ilham, 32, mengaku bersalah atas pertuduhan yang dikemukakan terhadapnya.
Sekiranya gagal membayar denda berkenaan, tertuduh boleh dipenjara selama tiga bulan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan curangnya memiliki harta curi iaitu satu tabung gas warna kuning, satu alat lazer pengukur, satu mesin drill dinding dan satu mesin grinder milik seorang kontraktor iaitu Mohd. Zulkhairi Mazelan, 30.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah residensi 19-3C Taragon Puteri Bintang, Jalan Changkat Thambi Dollah, daerah Dang Wangi, pada pukul 6 petang, 9 Disember lalu.
Lelaki itu didakwa di bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Amritpreet Kaur Randhawa mencadangkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh.
Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam bela merayu agar dikenakan hukuman minimum serta insaf untuk tidak mengulangi kesalahan tersebut pada masa akan datang.
Mengikut fakta kes, pengadu yang merupakan seorang pekerja kontraktor, semasa berada di tempat kerja mendapati beberapa barangan telah hilang dicuri oleh individu tidak dikenali. Anggaran kerugian adalah sebanyak RM1,650. – UTUSAN