Penganggur menyamar polis, menyamun dipenjara 12 tahun enam bulan 

Penganggur menyamar polis, menyamun dipenjara 12 tahun enam bulan 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang penganggur dipenjara 12 tahun enam bulan oleh dua mahkamah di sini selepas mengaku bersalah atas tuduhan menyamar sebagai polis sebelum merompak beberapa individu, kira-kira dua bulan lalu.

Di Mahkamah Sesyen, Hakim Egusra Ali menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun ke atas Mohd. Khairee Mat Yassin, 35, selepas tertuduh mengaku bersalah atas dua pertuduhan merompak. Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara berjalan secara berasingan bermula dari tarikh tangkap iaitu pada 9 November lalu. 

Mengikut pertuduhan pertama, Mohd. Khairee didakwa merompak dua buah telefon bimbit, sebuah tablet pintar dan wang tunai sebanyak RM270 milik Anis Md. Mollah di kawasan industri di Jalan Kepong, di sini pada pukul 9.20 pagi, 20 Oktober lalu. 

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa merompak sebuah telefon bimbit, sekeping tiket penerbangan Air Asia, satu pasport dan wang tunai bernilai RM600 milik Ijum Sholehah di sebuah premis Jalan Segambut, Sentul, pada pukul 10.30 pagi, 5 November lalu. 

Kedua-dua kesalahan itu didakwa di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun, dan hendaklah juga dikenakan denda atau sebat. 

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Eleena Jamaluddin mencadangkan hukuman yang setimpal kerana tertuduh telah menyamar sebagai anggota polis dan ia bukan kesalahan kali pertama Mohd. Khairee.

Sementara itu di Mahkamah Majistret, Mohd. Khairee didakwa menyamar sebagai anggota polis bagi tujuan melakukan rompakan, di Kedai Runcit Taman Fadason Jinjang di sini, pada pukul 9.20 pagi, 20 Oktober lalu. 

Lelaki itu didakwa di bawah Seksyen 170 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-dua sekali.

Bagi kesalahan itu, Majistret Aina Azahra Ariffin menjatuhkan hukuman enam bulan penjara ke atas tertuduh dan memerintahkan hukuman itu berkuat kuasa dari tarikh tangkapan.

Berdasarkan fakta kes, ketika pengadu berada di sebuah kedai runcit, dia didatangi seorang lelaki dan memperkenalkan dirinya sebagai polis dan memberitahu ingin memeriksa telefon bimbit milik pengadu.

Lelaki terbabit memberikan alasan ingin memastikan sama ada pengadu terlibat dalam aktiviti perjudian nombor ekor haram.

Kemudian, tertuduh mengarahkan pengadu untuk membawanya ke tempat tinggalnya. Semasa di rumah pengadu, tertuduh telah meminta pengadu mengeluarkan barang-barang berharga dan memberikan nombor laluan kad bank miliknya.  

Tertuduh kemudian mengambil wang tunai berjumlah RM200, telefon bimbit jenama Oppo dan kad ATM milik pengadu. Selepas itu, tertuduh mengurung pengadu di dalam biliknya sebelum melarikan diri. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya